suria

FGV Catat Keuntungan Tinggi

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi, sebanyak RM267.29 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2014 berbanding RM211.58 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM3.72 bilion pada suku itu berbanding RM2.68 bilion sebelumnya, manakala pendapatan sesaham sebanyak 3.9 sen berbanding 3.7 sen sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGVH berkata pendapatan yang lebih tinggi itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi dalam segmen perladangan.

Pada 2014, harga purata CPO lebih tinggi, pada RM2,584 setan metrik berbanding RM2,264 setan metrik tahun lepas.

OER meningkat kepada 20.98 peratus pada 2014 berbanding 20.51 peratus tahun lepas.

FGVH berkata prestasi segmen perladangan yang positif mengimbangi keuntungan yang lebih rendah dalam segmen gula dan perkilangan, logistik selain kerugian dalam segmen hiliran.

"Peningkatan dalam jumlah keuntungan juga sebahagian besarnya disumbangkan oleh pengembalian kekurangan pinjaman sebanyak RM28.78 juta daripada Felda Iffco Inc, yang sejak itu pulih," katanya.

Selain itu, margin keuntungan kasar FGVH meningkat ketara kepada 15.8 peratus pada 2014 daripada 10.9 peratus pada 2013 berikutan penyepaduan Felda Holdings Bhd dalam kumpulan itu.

Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, kumpulan itu menjangkakan prestasinya bagi tahun kewangan semasa adalah selari dengan prestasi industri.

"Walaupun wujud kebimbangan mengenai pengeluaran tandan buah segar yang lebih rendah berbanding unjuran, kumpulan itu positif terhadap unjuran MSM," katanya.


FGV

Artikel Lain