suria

TM Sasar PKS Sumbang 20 Peratus Kepada Jumlah Hasil

GEORGE TOWN: Telekom Malaysia Bhd (TM) menjangkakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menyumbang 20 peratus kepada jumlah hasil kumpulan itu, sama seperti tahun lalu.

Naib Presiden Eksekutifnya, Azizi A. Hadi berkata, mengikut data SME Corp, terdapat lebih 645,000 PKS aktif di Malaysia dengan 516,000 merupakan pelanggan TM sehingga Januari tahun ini.

"Pada asasnya kami mempunyai kira-kira 80 peratus PKS aktif di Malaysia yang merupakan pelanggan kami, dan fokus kini adalah untuk mendidik dan melengkapkan mereka dengan peralatan yang tepat untuk meningkat perniagaan masing-masing.

"Kami menjangkakan angka itu akan terus meningkat dan mengekalkan asas pelanggan PKS dengan melibatkan mereka dengan program baharu kami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan TM SME Bizfest 2014 di sini, Khamis.

Azizi berkata, acara tahunan itu merupakan ruang yang tepat untuk PKS Malaysia memperoleh pengetahuan perniagaan menerusi seminar, perbincangan dan mengetengahkan perniagaan terbaik dan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain ceramah oleh tokoh terkemuka selain kisah kejayaan PKS.

Pengurus TM Pulau Pinang Ahmad Azhari Ismail berkata, 85,000 pelanggan PKS sedia ada di negeri itu, kira-kira 23,000 merupakan pengguna ICT yang aktif.

TM, PKS, Azizi A. Hadi

Artikel Lain