Dividen SPKP 10 Peratus - Najib - Niaga | mStar

Dividen SPKP 10 Peratus - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menunjukkan kemahiran membuat ais krim putar ketika melawat gerai usahawan bumiputera sempena Majlis Pengumuman Dividen Dana Pertubuhan Perladangan Kebangsaan (NAFAS) di Dataran Pekan , Pahang pada Sabtu.

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 10 peratus kepada pelabur Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Beliau berkata pengumuman dividen kali pertama itu adalah manifestasi kepada kejayaan program transformasi Pertubuhan Peladang.

"Walaupun DPK baru dua tahun beroperasi, saya hari ini mengumumkan dividen sebanyak 10 peratus bagi laporan kewangan pertama DPK, yang bakal memberi manfaat kepada semua.

"Tinggi harapan saya agar pemberian dividen ini akan menjadi pencetus semangat untuk kita semua terus menambah pelaburan dalam DPK," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dividen DPK dan pelancaran Kelab Usahawan 1Azam Parlimen Pekan di Dataran Pekan di sini.

DPK dilancarkan oleh Najib pada 17 Dis 2012 semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke-39 di Kuala Lumpur.

Antara produk DPK ialah SPKP, simpanan biasa dan Skim Pelaburan Am.

Penubuhan DPK merupakan sebahagian daripada strategi lautan biru Nafas sebagai pertubuhan induk peladang negara, dengan matlamat utama penubuhannya untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada anggota dan rangkaian Pertubuhan Peladang yang melibatkan Nafas, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 276 Pertubuhan Peladang Kawasan dan 826,000 anggota individu peladang berdaftar di seluruh negara.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata beliau bangga atas kejayaan yang dicapai oleh DPK walaupun masih baharu, namun berjaya menggembleng deposit sebanyak RM100 juta.

"Saya tidak lupa bahawa saya telah meletakkan sasaran supaya Nafas cari dana RM100 juta terlebih dahulu, dan berdasarkan kejayaan yang dicapai Nafas ini, saya akan tengok sama ada kita akan beri dana tambahan kepada Nafas dalam bajet akan datang," katanya.

Sementara itu, Najib berkata Program 1Azam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dilancarkan pada 2010, sehingga kini berjaya memberi manfaat kepada 140,296 peserta di seluruh negara.

Katanya dalam tempoh empat tahun itu juga, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk program berkenaan.

"Di Pekan sahaja terdapat 736 peserta Program 1Azam yang berjaya dilahirkan yang membabitkan peruntukan RM3.7 juta.

"Program ini berjaya melahirkan usahawan kecil dan kita harap usahawan kecil ini akan terus berkembang menjadi usahawan berjaya," katanya.


SPKP

Artikel Sebelum

Kedah Bakal Wujudkan Rubber City

Artikel Berikut

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

Blok Azmin sertai Bersatu - Sumber