suria

MBG Fruits Sasar RM123 Juta Pada 2017

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian perniagaan runcit buah-buahan, MBG Fruits Sdn Bhd (MBG), menyasar untuk menggandakan pendapatan kepada RM123 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Adnan Lee Chong Fatt Abdullah berkata sasaran untuk mengganda pendapatan dapat dilakukan dengan mempunyai lebih banyak cawangan, melalui program usahawan kakitangan (SEP) syarikat.

"Mulai 2014 hingga 2017, MBG akan menjalani proses pengembangan dinamik untuk berkembang secara organik kepada 60 cawangan daripada 25 pada masa ini, melalui SEP dan program perkongsian keuntungan dengan kakitangannya," kata Adnan kepada Bernama dalam satu temu bual.

Melalui SEP, beliau berkata pekerja dengan penilaian prestasi yang sangat baik akan ditawarkan kepentingan di cawangan-cawangan baru dengan modal permulaan sebahagiannya dibiayai oleh syarikat.

Dengan modal minimum sebanyak RM10,000, pekerja MBG boleh memiliki 10 peratus pegangan dalam usaha baharu dan boleh menambah saham untuk memiliki sepenuhnya kedai sebagai francaisi, katanya.

Menurut Adnan, beliau menubuhkan MBG pada 2001 dan selepas empat tahun, syarikat membuka kedai pertamanya di kompleks membeli-belah, Avenue K, Jalan Ampang, di sini.

Rangkaian itu meningkat pada kadar tiga hingga lima cawangan setiap tahun, dan sehingga kini MBG Fruits mempunyai 25 cawangan di lokasi-lokasi strategik yang meliputi kawasan pasaran tradisional, pasar raya dan kompleks membeli-belah di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

MBG, yang bermaksud dan menyokong konsep "Money Back Guarantee" atau Jaminan Wang Dikembalikan, mencatatkan pendapatan sebanyak RM47 juta tahun lepas dengan sokongan 240 pekerja.

Bagi 2014, Adnan berkata sasaran perolehan syarikat ialah RM55 juta berikutan rancangan usahawan SEP bermula dengan dua cawangan perintis akan dilancarkan di Shah Alam dan Subang.

"Tahun depan, akan ada lima lagi projek di bawah SEP. Sebagaimana yang kami rancang untuk menggandakan kehadiran kami setiap tahun, pada 2020 akan ada 120 cawangan dengan 50 di bawah program usahawan," kata Adnan.

Selain rancangan pengembangan, Adnan berkata MBG akan ke pasaran antarabangsa bermula 2017, menyasarkan Indonesia, China , Bangladesh dan Timur Tengah.

Pada masa ini, beliau berkata, syarikat sudah mempunyai operasi di Indonesia melalui MBG Seafood.

Semasa ditanya sama ada syarikat itu mempunyai rancangan untuk penyenaraian, Adnan berkata walaupun MBG layak berdasarkan prestasi pertumbuhan yang konsisten, beliau hanya akan memulakan proses pengapungan di Bursa Malaysia pada 2020, dengan sasaran untuk menjadi syarikat tersenarai awam pada 2025.

Pada masa itu, beliau berkata akan ada 220 cawangan MBG dengan 100 di bawah SEP.

"Berdasarkan kajian prestasi MBG, trend pasaran dan unjuran pertumbuhan konservatif, sebanyak 2,200 tenaga kerja pada 2025 akan dapat bekerja dengan perolehan sebanyak kepada RM627 juta setahun.

"Saya akan dapat membangunkan 100 penjual buah jutawan pada 2025 dengan SEP dan program perkongsian ekuiti ini," tambah pengasas kedai runcit buah itu.


MBG Fruits, Avenue K

Artikel Lain