suria

Jualan Mihas Naik 21 Peratus

Pameran Halal Antarabangsa Malaysia MIHAS di China baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Jualan terkumpul yang dijana daripada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-11 (MIHAS 2014) baru-baru ini mencecah RM966.4 juta, meningkat 21 peratus berbanding RM798.72 juta tahun lepas.

Sektor utama yang menarik minat pembeli di pameran yang berlangsung selama empat hari dan berakhir Sabtu lepas, ialah minuman, produk yang diproses dan sedia dimakan, makanan sejuk beku, rempah dan bahan perasa, menurut MIHAS dalam kenyataan pada Rabu.

Jualan kukuh itu juga didorong oleh misi belian masuk (IBM), dianjurkan sempena pameran itu bagi pembeli dan penjual bertemu pada mesyuarat perniagaan yang diatur terlebih dahulu.

"Kira-kira 400 pembeli dari 41 negara menyertai pertemuan perniagaan. Mereka dari China, Jepun, Korea, India, Mongolia, Indonesia, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Turki dan Qatar," menurut kenyataan itu.

Pameran pada tahun ini berjaya menarik seramai 20,818 pengunjung dari 60 negara, meningkat tahun ke tahun sebanyak 12.5 peratus. 


Mihas, China, Halal

Artikel Berikut

Artikel Lain