suria

AIA Ambil Lebih Ramai Perancang Hayat Gen Y

Bill Lisle.

KUALA LUMPUR: AIA Bhd kini memberi tumpuan untuk mengambil lebih ramai perancang hayat sepenuh masa Gen Y pada tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bill Lisle.

Beliau berkata pada tahun lepas, AIA melatih 5,800 perancang hayat Gen Y dan 90 peratus daripada mereka berusia antara 25 dan 35 tahun.

"Sebelum ini, kami berjaya semasa pelbagai kempen secara besar-besaran untuk merekrut perancang hayat Gen Y untuk mengukuhkan agensi kami dan berhubung dengan pelanggan yang terdiri dari generasi baru," kata beliau kepada pemberita pada majlis mengumumkan prestasi kewangan AIA 2013 di sini, Khamis.

Lisle berkata, AIA berhasrat memberi penekanan terhadap asas pelanggan Gen Y memandangkan syarikat menjangka ia akan berkembang bersama syarikat.

"Kami juga sedar bahawa pasaran sasaran ini lebih suka kepada proses dokumentasi tanpa kertas.

"Oleh itu, kami telah mengerakkan perancang-perancang hayat ini untuk melaksanakan prosedur dokumentasi menggunakan iPad kerana ia membantu meningkatkan pengalaman pelanggan memandangkan polisi hari ini boleh ditajajamin dan diproses dalam masa kurang daripada satu jam," katanya.

Beliau berkata, tahun lepas merupakan tahun yang menarik dan mencabar bagi syarikat dan rakan kongsinya, walaupun tahap kerumitan integrasi, AIA Malaysia mencapai keputusan kewangan yang baik.

"Dengan usaha bersepadu daripada semua perancang hayat kami, pekerja dan rakan kongsi perniagaan, kami berada di landasan yang betul untuk menjadi peneraju dalam pasaran yang tidak boleh dicabar menjelang tahun 2015," kata Lisle.

Tahun ini, AIA akan memfokus kepada pengukuhan keupayaan pengagihan berbilang, memperkukuhkan perkongsian banknya dan pembangunan berterusan untuk teknologi pengedaran, katanya.

"Di samping itu, AIA merancang untuk memperkenalkan produk yang akan mencetus perubahan pada bulan depan untuk mengukuhkan kedudukan utamanya dalam pasaran penyelesaian korporat walaupun pada masa yang sama meneroka cara-cara inovatif untuk memberi nilai asas pelanggan sedia ada," katanya.

AIA, Bill Lisle

Artikel Lain