suria

Perbanyak Infrastruktur Kereta Elektrik Tarik Model Baharu - Volkswagen Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai lebih banyak infrastruktur bagi membolehkan banyak lagi kereta elektrik berada di pasaran negara ini, kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd, Christoph Aringer.

Beliau berkata, pengeluar kereta perlu menyediakan cadangan untuk dikemukakan kepada syarikat mereka dengan mengambil kira infrastruktur dan kemudahan sedia ada di negara ini.

"Kereta elektrik memberi manfaat kepada rakyat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan di rantau Asean dan kereta elektrik merupakan penyelesaian terbaik.

"Bagaimanapun, kami (pengeluar kereta) perlu mengambil kira semua aspek termasuk kemudahan dan infrastruktur. Kami tidak hanya menjual produk kami tetapi perlu memikirkan tentang pembeli kenderaan elektrik kami dan pengguna masa depan," katanya.

Aringer berkata, adalah mustahil bagi Volkswagen Malaysia mengeluarkan kenderaan elektrik di Malaysia pada masa ini.

Sementara itu, baru-baru ini BMW Group Malaysia dilaporkan berkata, syarikat tidak akan mengeluarkan kenderaan elektrik di Malaysia dalam masa terdekat memandangkan permintaan yang kecil bagi kenderaan sedemikian di negara ini.

Pengeluar kereta Jerman itu berkata disebabkan oleh permintaan yang kurang memberangsangkan itu dan infrastruktur yang tidak mencukupi, syarikat tidak boleh mengeluarkan model 'i' keluaran syarikat pada masa ini.

BMW Group Malaysia juga mahukan penjelasan berhubung kelebihan cukai yang syarikat-syarikat pengeluar seperti BMW akan peroleh dengan memperkenalkan kenderaan cekap tenaga di Malaysia.

Syarikat itu juga menyeru kerajaan supaya menawarkan insentif cukai kepada peserta industri yang menjual kenderaan elektrik tanpa mengambil kira sama ada kenderaan itu dipasang dalam atau luar negara.

Artikel Lain