suria

Bangga belajar di SBP, MRSM... pandang rendah siapa sekolah biasa! Bekas pelajar jangan ‘kerek’, masuk IPT tak siapa pandang semua tu

Lokasi dan status sekolah kerap dijadikan topik perbandingan. -Gambar hiasan

MEREKA yang menerima pendidikan di sekolah berprestij sedikit sebanyak akan berasa bangga dengan tempat mereka menimba ilmu.

Ketika sekolah ternama menjadi rebutan setiap pelajar, ada juga individu yang hanya mampu mengimpikannya dari kejauhan.

Bagaimanapun, belajar di sekolah ternama atau tidak, perkongsian pemuda ini yang mendapat pendidikan di sekolah harian biasa benar-benar membuka mata kita.

Ciapan asal di laman Twitter.

Menulis di Twitter, pemuda yang lebih senang disapa sebagai Zac ini berkata di mana kita bersekolah bukannya titik penentu kejayaan seseorang tetapi semuanya berbalik kepada diri sendiri.

"Masa awal-awal masuk pengajian asasi di universiti tempatan dulu, ramai asyik 'flex' (menunjuk) mereka datang dari sekolah mana.

"Nama-nama sekolah macam Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) akan muncul.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah la laluan orang kampung” - Pelajar asrama teringin makanan luar kebiasaan, peniaga menggigil hantar... mujur ada alat khas

ARTIKEL BERKAITAN: “Boleh buat series Netflix” - Licik ‘bisnes haram’ di hostel sebab terdesak, pemuda insaf aniaya rakan sampai kena gantung sekolah

"Sesetengah mereka yang datang dari sekolah elit ni boleh dikatakan kerek (berlagak) sikitlah.

"Kalau orang tanya aku sekolah mana, aku segan nak jawab sebab aku sekolah harian biasa je. Dipandang rendah pada mulanya," luah Zac dalam ciapannya yang tular.

Meskipun begitu, Zac berpendapat nama sesebuah sekolah itu tidak menjadi perkara penting ketika menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Tak semua pelajar sekolah SBP macam tu, ada je yang baik saya jumpa, kami jadi kawan rapat dan 'masuk air' sama-sama.

NETIZEN

"Bila masuk universiti, nama sekolah hanya boleh tinggal kenangan sebab kini kita berdiri sendiri. Tidak semua akan disediakan kepada kita macam zaman sekolah dulu.

"Siapa yang lebih berdisiplin dia akan lebih perform. Ramai kawan yang genius dari sekolah ternama kecundang waktu semester pertama dan kedua sebab banyak main.

"Masuk semester ketiga, pelajar yang pada mulanya angkuh kini akur untuk merendah diri dan mula sedar sekolah mana kita dahulu bukannya kunci kejayaan hari ini.

Menurut Zac, apa yang penting ketika di universiti adalah usaha dan disiplin. -Gambar hiasan

"Janji ada disiplin untuk belajar bersungguh-sungguh pasti akan berjaya," ujar Zac menyampaikan peringatan.

Seterusnya Zac memberitahu perkara yang sama juga berlaku apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

"Sama juga bila masuk kerja, universiti ni tak kisah dah, siapa yang prestasinya baik, gaji dia akan lebih tinggi dari orang lain," kata Zac.

Zac memaklumkan dia sebenarnya bersekolah di luar bandar selama 18 tahun, menyebabkan dia tidak begitu arif mengenai nama-nama sekolah yang gah di Malaysia.

"Aku tak tahu pun nama-nama sekolah yang hebat ni semua dulu. Nak Google pun tak berkemahiran sangat sebab duduk pedalaman.

"Yang aku tahu sekolah paling power dekat Kota Bharu, Kelantan macam Ahmad Maher, Maktab Sultan Ismail, Maahad Muhammadi, Zainab 1 dan Faris Petra," ujar Zac.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, sebahagian warga maya bersetuju terdapat segelintir lepasan dari sekolah kluster kecemerlangan yang berbangga dan gemar bercakap besar mengenai pendidikan mereka.

"Ada yang dah kerja pun masih berbangga Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mana dulu, tak habis-habis cerita.

"Bila masuk univeristi dulu, mereka yang SBP mesti duduk dengan sesama mereka, macam ada kroni dan puak," demikian kata sebilangan warga maya.

Ada juga netizen yang tidak sependapat dengan Zac kerana mengatakan sekolah elit terutamanya SBP berjaya melahirkan komuniti alumni yang saling bantu-membantu dalam setiap industri.

"Sekolah yang macam ni senang nak tolong kita secure tajaan, kontrak kerja dan tempat dalam industri, tak dilupakan juga alumni mereka yang sangat supportive.

"Alumni SBP rock solid, mereka selalu ada antara satu sama lain, mereka tak keseorangan. Dengan keputusan yang cemerlang, they can go places.

"Tak semua pelajar sekolah SBP macam tu, ada je yang baik saya jumpa, kami jadi kawan rapat dan 'masuk air' sama-sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain