suria

[V] Jejaka Perancis tak tahu Malaysia wujud, baru 2 bulan di sini terus label syurga dunia! Kagum ada pantai lebih indah dari Maldives

Valentin jatuh cinta dengan keindahan Malaysia yang dianggap seperti syurga dunia.

TAK kenal maka tak cinta.

Begitulah gambaran kisah seorang pemuda Perancis yang memilih Malaysia sebagai destinasi untuk menyambung pengajian dalam bidang kewangan dan ekonomi.

Menurut Valentin Anger, 22, dia perlu berhijrah ke luar negara selama setahun sebagai syarat untuk melengkapkan keseluruhan pengajian yang sedang diikutinya di negara asal.

Senang disapa Valentin, dia akhirnya terbang ke Malaysia pada penghujung Ogos lalu dan kini sedang menjalani rutin harian sebagai pelajar di Universiti Taylor, Subang Jaya, Selangor.

"Saya baru dua bulan berada di Malaysia. Saya tiba pada penghujung Ogos sebelum memulakan semester pengajian baharu di sini.

"Saya akan meninggalkan Malaysia pada Disember sebelum meneroka beberapa negara Asia lain dan kembali ke Perancis pada pertengahan tahun depan.

Saya suka kepelbagaian landskap di Malaysia. Ada pulau, gunung, hutan, sungai dan sebagainya.

VALENTIN

"Saya sepatutnya menyambung pengajian di Malaysia dua tahun lepas, tapi tak dapat meneruskannya kerana pandemik Covid-19 sedang melanda," ujarnya.

Menurut Valentin, dia sebelum ini tidak pernah tahu mengenai kewujudan Malaysia.

Namun, dia mula tahu mengenai negara ini selepas melihat nama Malaysia tersenarai dalam salah satu negara yang boleh dipilihnya untuk menyambung pengajian.

valentin3

Valentin akui jatuh cinta dengan kepelbagaian landskap di Malaysia.

Biarpun sibuk dengan tugasan akademik, Valentin yang juga anak kedua daripada tiga beradik tidak melepaskan peluang untuk meneroka pelbagai tarikan di Malaysia.

Menurut Valentin, keindahan panorama dan budaya di Malaysia menjadikan negara ini destinasi yang sempurna buatnya memandangkan dia juga merupakan seorang jurufoto pelancongan.

"Saya minat bidang fotografi sejak zaman sekolah. Kebetulan ayah saya juga ada kamera. Pada waktu itu, saya mula ambil gambar kawan-kawan dan gambar ketika percutian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah berhenti sekolah, sambung balik sebab dia” - Sama cantik, sama padan... pengantin Thailand buat netizen Malaysia tak keruan

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka Singapura terkejut followers dari Malaysia bertambah sebab video TikTok! Minat Syafiq Kyle, tapi video tiru lakonan Shaheizy Sam yang viral

"Awalnya saya buat sekadar suka-suka. Tapi saya mula melakukannya dengan serius dua tahun lepas. Saya datang ke sini membawa kamera dan dron.

"Saya suka kepelbagaian landskap di Malaysia. Ada pulau, gunung, hutan, sungai dan sebagainya. Sebagai jurufoto pelancongan, saya suka negara yang mudah untuk melancong.

"Selain Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, saya juga sudah melawat Pulau Langkawi (Kedah), Pulau Tioman (Pahang) dan Pulau Semporna (Sabah). Perancangan selepas ini saya nak ke Melaka, Sarawak, Singapura dan Vietnam.

anger1

Laman sosial Valentin turut dibanjiri dengan foto dan video yang memaparkan keindahan panorama Malaysia.

"Seronok tangkap gambar di Malaysia. Air lautnya jernih macam kristal, ibarat syurga dunia. Saya memang gembira berada di negara ini," ujarnya yang gemar menikmati roti canai, nasi lemak dan mi goreng.

Dalam pada itu, Valentin juga banyak berkongsi hasil karya dalam bentuk video dan foto menerusi Instagram serta TikTok sehingga dia meraih ramai pengikut baharu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kata pemuda itu, dia bersyukur dengan sokongan yang diterima, sekali gus membuatkan dia tidak begitu sedih apabila perlu berjauhan dengan keluarganya di Perancis.

valentin5

Valentin ketika berkunjung ke Sabah, baru-baru ini.

"Malaysia sangat sempurna bagi saya. Layanan orang Malaysa sangat baik. Ramai yang memberikan sokongan dan seronok lihat pelancong seperti saya meneroka negara ini.

"Saya seronok dapat belajar di sini walaupun tak lama. Ramai orang baik, makanan pun sedap, nak bercuti pun mudah. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan menerusi media sosial.

"Sokongan anda memberikan semangat untuk saya terus berkarya. Ia juga memberi motivasi kepada saya, sekali gus mengurangkan perasaan rindu pada negara asal. Saya tak rindu sangat walaupun jauh dari Perancis," ujarnya berseloroh.

valentin0

Valentin berterima kasih dengan sokongan yang diterima di Malaysia.

Untuk rekod, Valentin mempunyai lebih 32,000 pengikut di TikTok.

Video-video pengembaraannya di Malaysia turut meraih ratusan ribu tontonan dan turut dihujani dengan komen netizen dari Malaysia.

"Terima kasih kerana memilih Malaysia. Sila nikmati masa kamu di sini.

"Terima kasih memilih Malaysia. Semoga awak meraih pengalaman yang sukar dilupakan di sini," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain