suria

Teringin nak tengok diri sempurna, peniaga takoyaki OKU minta netizen tolong edit gambar - “Dulu saya diejek alien”

Lelaki OKU ini meminta gambarnya disunting supaya kelihatan sempurna.

PERMINTAAN seorang lelaki kelainan upaya agar gambar dirinya 'diubah' kepada keadaan yang lebih sempurna mengundang sebak warganet.

Hasratnya itu disuarakan melalui satu posting bergambar oleh Muhammad Faiz Mohd Nor, 31, yang mempunyai masalah tulang belakang bengkok sejak lahir, di grup Facebook Edit Apa Hari Ni?

“Boleh tak edit badan saya sempurna macam orang normal. Teringin sangat nak tengok,” demikian kapsyen yang ditulis.

Ketika dihubungi mStar, Faiz menceritakan tentang masalah tulang belakang dihadapinya seperti mana dapat dilihat menerusi gambar tular dia berbaju Melayu kuning bersama keluarga.

Posting asal yang tular di Facebook.

“Dari kecil memang tulang belakang dah macam ni. Saya kurang selesa bila berjalan sebab cepat penat dan mengah. Saya memang tak boleh angkat barang berat dari dulu.

“Bila keadaan kita macam ni memang banyak yang memandang kalau berjalan di luar. Zaman sekolah dulu pun saya selalu kena ejek dengan panggilan Alien (makhluk asing), si bongkok dan banyak lagi.

“Saya post gambar tu sekadar nak hiburkan hati. Tak sangka pula netizen boleh bagi sokongan dan kata-kata semangat untuk saya terus kuat jalani kehidupan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan perlekeh graduan berniaga takoyaki siap campak duit, terbongkar rupa-rupanya anak pemilik stesen minyak!

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda kacak, sado jual takoyaki jadi tumpuan di Kelana Jaya... Dulu ‘introvert’, kini sakan buat content TikTok

Tambahnya lagi, dia sangat terharu apabila melihat gambar tersebut dikomen oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang memujinya.

Malah, Faiz yang merupakan bapa kepada lima cahaya mata turut berasa terharu apabila melihat netizen yang sanggup menyunting gambar bagi memenuhi permintaannya.

“Rasa terharu, menangis... sampai tak terucap rasa berterima kasih kepada semua yang sudi edit gambar tu.

Gambar sebelum (kiri) dan selepas (kanan) yang telah disunting.

“Boleh dikatakan 99 peratus semuanya komen positif dan saya amat menghargainya. Ada juga komen negatif tapi itu biasalah dalam lumrah kehidupan. Tak semua suka dengan cara kita,” ujar Faiz lagi.

Segala kata-kata tidak baik yang dilemparkan tidak pernah mematahkan semangat Faiz, sebaliknya dia mengambilnya sebagai pembakar semangat untuk terus maju.

Tidak menjadikan kekurangan sebagai alasan, Faiz kini mengusahakan perniagaan takoyaki yang dijalankan bersama isteri Nurul Athirah Hanafi, 28.

Menurut Faiz, sambutan diterima setakat ini amat memberangsangkan dan dia juga mempunyai dua pekerja selain menjadi ejen dan stokis di Johor, Perak, Kelantan serta Pulau Pinang.

Faiz mengusahakan perniagaan takoyaki bersama isteri.

“Kami pada mulanya memang peminat takoyaki. Sebelum ni bapa saudara saya yang jual takoyaki dan dia yang ajar kami berniaga kecil-kecilan dulu.

“Tapi tak sangka kami boleh pergi sejauh ni. Jualan setakat ni sentiasa memuaskan. Ada kalanya tak menang tangan dan ada kalanya biasa-biasa saja,” ujar Faiz.

Jelas Faiz, bisnes yang diusahakan ini merupakan salah satu bukti yang insan kurang upaya sepertinya tidak menjadikan kecacatan pada diri sebagai penghalang untuk berjaya seperti orang lain.

Untuk rekod, hantaran asal gambar tersebut telah meraih lebih 30,000 tanda suka dan lebih 1,300 perkongsian semula.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain