suria

Perodua Kancil ‘legend’ memang padu! Demi nak kurus jejaka ini buat tempat sauna, pakai jaket duduk dalam kereta tengah panas

Zack bakal beraksi di Sukma 2022 pada September ini.

TRANSFORMASI fizikal seorang jejaka yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg) dalam tempoh 45 hari meraih pujian netizen.

Menurut Zakaria Azman, 22, dia bukan sahaja menjaga pemakanan dan bersenam secara berterusan, malah tidak terlepas untuk melakukan rutin bersauna setiap hari sepanjang tempoh itu.

"Saya joging 5km setiap pagi. Pada hari cuti pula, biasanya akan berbasikal sejauh 25km. Sepanjang 45 hari proses itu, saya langsung tak minum air manis.Tiada air gas dan bergula tapi minum air suam saja.

"Pada waktu pagi, saya akan ambil roti wholemeal dengan scrambled egg. Makan kena jaga, saya makan lauk je. Lepas Maghrib je saya tak sentuh nasi atau lauk, sebaliknya hanya makan buah.

"Sepanjang tempoh itu juga, setiap hari akan bersauna dalam kereta Perodua Kancil milik ayah. Apabila waktu tengah hari, saya akan pakai jaket dan masuk ke dalam kereta selama 35 minit untuk bersauna, tapi pastikan tingkap dibuka sikit.

"Dalam 35 minit tu, terus banjir satu badan. Alhamdulillah, tubuh saya juga rasa lebih ringan. Tak payah nak sewa beg sauna besar tu, tak perlu pun pergi ke pusat sauna. Ini versi percuma," ujarnya berseloroh.

ARTIKEL BERKAITAN: Berisi sejak kecil, berat badan pernah lebih 100kg, jejaka ini akhirnya berjaya kurus dalam masa 4 bulan! Sampai sekarang tak sentuh ‘2 makanan’

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah merasa beli baju di mall, gadis malas bersenam terkejut berat badan susut 44kg... hanya pegang satu kata kunci! - “Gemuk dari kecil, tak sangka boleh kurus”

Senang disapa Zack, dia mengakui terharu apabila video transformasi fizikal yang dikongsi olehnya meraih hampir sejuta tontonan di aplikasi TikTok.

Selain dihujani pertanyaan mengenai tip kurus, Zack juga menerima pujian netizen yang rata-ratanya terpegun dengan perubahan itu.

"Saya main post je video tu. Tiba-tiba ia dah viral. Nasihat saya kepada mereka yang sedang lalui proses kuruskan badan, paling penting kita kena jaga pemakanan. Elakkan fast food.

zack5

Zack menyertai sukan angkat berat sejak berusia 12 tahun.

"Selain itu kita kena rajin. Kena ingat sasaran kita. Sejujurnya saya sendiri pun rasa malas nak bersenam. Tapi apabila ingat balik apa yang saya nak kejar, terus saya jadi rajin," ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Zack yang juga seorang atlet angkat berat mengakui nekad mengurangkan berat badannya dalam tempoh singkat sebagai persediaan untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada September ini.

Menurut atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, dia gementar namun sedang mempersiapkan diri agar dapat meraih keputusan terbaik dalam kejohanan sukan itu tidak lama lagi.

Setiap hari akan buat sauna dalam kereta, Apabila waktu tengah hari, saya akan pakai jaket dan masuk ke dalam kereta selama 35 minit.

ZACK

ATLET ANGKAT BERAT

"Ketika Sukma Perak pada tahun 2018, saya hanya dapat pingat perak. Jadi saya sasarkan pingat emas untuk Sukma akan datang. Saya masuk kategori normal 67kg, sebab itu jugalah saya kurangkan berat badan. Pada Mei lalu berat saya 81kg, sekarang Alhamdulillah dah 66kg.

"Selain Sukma, saya juga pasang impian untuk jadi wakil Malaysia ke Sukan Sea dan Sukan Komanwel. InsyaAllah saya akan lakukan yang terbaik," ujarnya yang berhasrat mendedikasikan kemenangan buat arwah ibunya yang meninggal akibat strok pada 31 Ogos tahun lalu.

Jelas Zack lagi, ibunya juga pernah bergiat aktif dalam sukan angkat berat suatu masa lalu, sekaligus memberi semangat untuknya meneruskan minat yang sama sehingga berada pada tahap hari ini.

zack4

Zack mahu mendedikasikan pingat emas buat arwah ibu serta ahli keluarganya.

Selain dorongan arwah ibu, dia juga mengikuti jejak langkah dua saudaranya iaitu Erry Hidayat dan Hidayat Hamidon yang sudah sekian lama berkecimpung dalam sukan itu.

"Saya sertai sukan ini pada umur 12 tahun. Saya sertai kerana dorongan arwah mak. Arwah juga atlet angkat berat tapi dia tak pernah masuk mana-mana game. Jadi minat ini datang daripada mak saya.

"Sepupu saya Erry Hidayat pun menyertai sukan ini. Dulu, mak selalu juga pergi hantar makanan untuk adik dia, Hidayat Hamidon setiap kali dia train di Majlis Sukan Negara (MSN).

zack3

Video yang dikongsi Zack tular dan dihujani pelbagai komen netizen.

"Saya selalu tengok pakcik training. Jadi saya akhirnya saya pun masuk sukan ini. Saya nak capai apa yang arwah mak inginkan. Kalau dapat emas, saya nak dedikasikan kepada keluarga dan arwah mak.

"Dulu masa dapat perak, saya minta maaf kepada mak, saya janji nak bagi dia pingat emas. Dia pesan supaya teruskan training walaupun dia dah tak ada, jangan patah semangat dan jangan tinggal solat.

"Cuma agak kesal kali ni mak tak dapat tengok saya beraksi," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain