suria

Dua tahun tak balik kampung beraya, rumah pusaka kena serbu... Tidur luar ada nyamuk ‘no hal’, yang penting selimut ‘legend’

Aktiviti tidur lambak sudah menjadi satu perkara biasa bagi keluarga Farid.

SETIAP kali tiba hari raya, kampung halaman menjadi 'medan' untuk sanak saudara berkumpul beramai-ramai.

Di sebalik kemeriahan itu, timbul pula isu bermalam dii rumah datuk dan nenek kerana bilik tidur yang terhad.

Bagaimanapun, ia bukan menjadi masalah buat keluarga pemuda bernama Farid Zulhaikal ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesak! Gara-gara ‘kenduri kahwin terakhir’, 9 beradik bawa anak isteri berkhemah dalam rumah mak ayah... tidur lambak dah biasa!

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara buku Thomas and Friends, budak ini merajuk bawa khemah, "Kalau lari lagi, nanti kena culik potong kaki"

Bukan sekadar ruang tamu yang dipenuhi cucu cicit serta sepupu sepapat, malah ruangan beranda di luar rumah turut dijadikan tempat tidur sanak saudara.

Berkongsi pengalaman, Farid berkata, kira-kira 40 ahli keluarga di sebelah bapanya berkumpul di rumah pusaka peninggalan arwah datuk dan neneknya di Kampung Kangkung Binjal di Pasir Mas, Kelantan.

"Aidilfitri tahun ini semua adik beradik bapa saya yang kebanyakannya menetap di Selangor balik ke kampung untuk meraikan raya bersama-sama selepas dua tahun tidak berjumpa.

"Bagi keluarga kami, situasi tidur lambak bukan satu masalah sebab dah terbiasa kalau ramai berkumpul. Kalau ikutkan raya tahun-tahun sebelum pandemik, kami tidur di ruang tamu saja.

FAMILI

Keluarga besar Farid Zulhaikal.

"Tapi sekarang ada yang dah berkahwin, jadi ahli keluarga pun bertambah. Rumah pusaka sudah diubahsuai sedikit supaya lebih luas," ujar pemuda berusia 20 tahun ini.

Menurut Farid, ahli keluarga lelaki sahaja yang terlibat dengan 'tidur lambak' manakala kaum wanita ditempatkan di bilik atas faktor privasi dan aurat.

"Saya dan beberapa sepupu tidur di beranda luar rumah. Ada netizen tanya, tak ada nyamuk ke? Sebenarnya nyamuk ada tapi sebab pasang kipas laju dan semua berselubung dalam selimut, tak ada pun kena gigit.

karok

Karaoke antara aktiviti bersama-sama yang dilakukan bersama sepupu dan saudara mara di kampung.

"Lebih seronok sebab suasana sejuk saja. Tapi tidur lambak ini selalunya dalam dua atau tiga malam saja sebab ada ahli keluarga yang pulang ke rumah mentua masing-masing pada hari raya kedua atau ketiga," ujarnya yang menetap di Batu Caves, Selangor.

Farid yang merupakan penuntut Diploma Ukur Bahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak berkata, dia sendiri teruja untuk pulang beraya ke kampung pada tahun ini kerana rindu untuk bertemu dengan saudara mara.

"Keluarga bapa saya bersama ahli keluarga lain berkonvoi ke Kelantan pada Sabtu lepas. Sungguhpun hampir 12 jam perjalanan kerana trafik sesak teruk, tapi kepuasan dapat berkumpul dengan saudara mara memang tak dapat diungkap.

Ada netizen tanya, tak ada nyamuk ke? Sebenarnya nyamuk ada tapi sebab pasang kipas laju dan semua berselubung dalam selimut, tak ada pun kena gigit.

FARID ZULHAIKAL

"Penat tu sekejap saja. Selepas sampai di kampung pada pagi Ahad, kami berehat sebentar dan malam raya, semuanya bergotong royong buat persiapan makanan dan sebagainya.

"Selain bertanya khabar, kami semua buat macam-macam aktiviti bersama-sama seperti pasang pelita, main mercun dan berkaraoke.

"Rata-ratanya bercuti di kampung selama seminggu sebab dah lama tak pulang ke Kelantan. Ibu saya juga orang Kelantan, jadi memang tempoh bercuti tu kami pusing beraya di rumah sanak saudara," ujar anak sulung daripada tiga adik beradik ini.

RUMAH

Rumah pusaka datuk dan nenek di kampungyang telah melalui proses pengubahsuaian agar lebih selesa.

Tidak menyangka video 'tidur lambak' yang dimuat naik di TikTok meraih lebih 750,000 tontonan, Farid berkata, dia sekadar berkongsi kisah keluarganya beraya di kampung.

"Sedih juga apabila ada yang komen tak pernah rasa situasi seperti itu sebab hanya beraya di ibu kota.

"Ada juga netizen yang kata, bertuahnya sebab saya dapat rasai pengalaman meriah di kampung kerana keluarga mereka tidak suka situasi macam itu. Namun terpulang kepada cara masing-masing.

"Lagipun situasi ini hanya sekali sekala saja... bukan selalu. Sedikit-sebanyak boleh dijadikan kenangan untuk hari tua nanti," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain