suria

Tolak rayuan pemandu Grab nak hutang beli telefon, pemilik kedai gajet ‘jadi manusia’ dan ubah fikiran - “Uncle janji jangan tipu sama saya”

Mohd Fadli (kiri) bertemu dengan seorang pemandu Grab yang mengalami masalah kewangan dan telefon rosak. foto FB Mohd Fadli Salleh

SAAT kita berasa diri kita susah, sebenarnya ada orang yang jauh lebih susah daripada kita.

Begitulah yang dialami oleh seorang lelaki yang ditimpa masalah ketika mencari rezeki dari siang hingga ke malam dengan menjadi pemandu Grab.

Perkara itu disedari oleh seorang guru di kedai gajet yang diusahakannya selepas dimaklumkan oleh salah seorang stafnya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya PM cikgu ni mak tak tahu" - Guru terkejut dapat mesej remaja 14 tahun... akui kesempitan hidup keluarganya memang 'real'

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja buat spot check, guru terkejut lihat rumah 3 beranak asnaf yang pernah dibantunya! - "Dulu tinggal di stor kecil sempit bertiga"

"Cikgu, ada lelaki berbangsa Singh datang nak beli telefon. Tapi dia cuma ada RM24 sahaja. Saya dah cakap, kedai kita tak boleh hutang.

"Tapi dia merayu juga. Macam mana ni cikgu? Tanya staf aku. Terus aku keluar, jumpa uncle ini," tulis Mohd Fadli Salleh di Facebook beliau.

Dalam pertemuan tersebut, pemandu Grab itu berkongsi kisah dirinya yang merupakan duda dengan seorang anak berusia empat tahun dan menetap bersama ibu berusia 72 tahun.



Mohd Fadli turut menghulurkan sumbangan menerusi aktiviti kebajikan Dana Kita.

Mohd Fadli berkata, lelaki itu akan mengambil anaknya untuk dihantar ke rumah pengasuh setiap hari, melayannya dengan baik tanpa mahu memutuskan hubungan erat seorang bapa dengan anak.

"Kasih sungguh dia pada anaknya jika dengar dia bercerita. Dikeluarkan dompet dan tunjukkan isi kandungan dalam dompet dia.

"Cikgu, ini saja duit saya. Telefon saya rosak. Macam mana saya nak bawa Grab. Boleh tak saya bayar ansur-ansur?" kata guru mengimbas kembali perbualan mereka.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Namun, Mohd Fadli menjelaskan bahawa kedai mereka tidak menyediakan khidmat bayaran secara ansuran dan lelaki itu kemudian memberikan jawapan yang tidak dijangka.

"Kalau macam tu terpaksa saya cari along dan pinjam duit nak beli telefon. Telefon penting untuk saya buat kerja. Balas dia perlahan dan ingin berlalu.

Tak kisah dia bangsa apa, agama apa, asal mereka layak dan benar-benar memerlukan, aku pasti bantu semampu aku

MOHD FADLI SALLEH

"Uncle. Tunggu. Uncle nak telefon mana? Dia berhenti, pandang mata aku. Saya tak ada duit. Nak yang mana? Tanya aku kali kedua. Yang paling murah.

"Kedai saya memang tak boleh beli secara ansuran. Boleh bankrap kalau bagi semua orang hutang. Tapi saya manusia, uncle manusia.

:"Uncle terdesak dan perlu bantuan, saya mampu tolong, mesti saya tolong punya. Uncle cuma perlu janji jangan tipu sama saya sahaja. Ada berapa lebih, bayar sikit-sikit," ujar guru itu yang juga aktivis kebajikan Dana Kita.



Mohd Fadli kagum dengan mereka yang mahu memberi sumbangan.

Sewaktu lelaki itu mahu beredar, Mohd Fadli meminta untuk tunggu sekejap bagi menyampai sumbangan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) kebajikannya.

"Saya urus satu NGO juga bantu orang susah. Dalam ni ada beras, minyak masak, sardin, gula, susu dan sebagainya. Bawa balik boleh masak dengan mak.

"Masa ni dia dah tak terkata apa dah. Terus mengalir air mata dia. Tak dapat ditahan lagi sebak di dada.

"Syukurlah. Hari ini ada insan dapat bantuan lagi. Tak kisah dia bangsa apa, agama apa, asal mereka layak dan benar-benar memerlukan, aku pasti bantu semampu aku," katanya.

Posting mengenai kisah Mohd Fadli bersama pemandu Grab itu mendapat perhatian sehingga dikongsi lebih 3,000 kali dan mendapat lebih 48,000 tanda suka.

Terbaharu, kata Mohd Fadli di ruangan komen, beliau menerima puluhan mesej secara terus (DM) daripada individu-individu yang menawarkan diri untuk menanggung harga telefon yang disumbangkan itu.

"Ada Melayu, Cina, India dan Singh sendiri. MasyaAllah, hebatnya rakyat Malaysia. Semua bersatu-padu tanpa kira kaum, agama dan bangsa untuk membantu mereka yang memerlukan. Tahniah semua," katanya sambil menambah harga telefon tersebut telah dibayar oleh seorang penyumbang.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain