suria

Tiap hari berdoa namun takdir atasi segalanya... kaki pesakit diabetes dipotong jua, soalannya buat doktor sukar nak jawab

Pesakit tersebut pada mulanya tidak dapat menerima hakikat kakinya dipotong, namun akhirnya dia menyedari hikmah ujian berkenaan. Gambar hiasan

BAGI pesakit yang disahkan menghidap diabetes, sudah pastinya perkara yang paling ditakuti ialah amputasi atau pemotongan anggota badan pada bahagian tertentu.

Bayangkan sekiranya ada anggota badan terpaksa dipotong, sedikit sebanyak pergerakan atau aktiviti seharian akan terbatas.

Begitu juga dengan kisah seorang pesakit warga emas ini yang menderita diabetes sehingga akhirnya menyaksikan sebelah kakinya terpaksa dipotong.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi satu tiub di hidung pesakit strok dan seorang isteri yang datang merayu... doktor ini buat keputusan mengejutkan!

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hanya ingat mati selepas positif Covid-19 pada hari jadi anak, cuma mampu baca doa ringkas - “Ada harapan hidup sebab tengok statistik KKM”

Kisah tersebut dikongsikan oleh seorang doktor menerusi coretan di Facebook.

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, pesakit tersebut mengalami luka pada bahagian kaki sehingga menyebabkan dirinya sukar untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Setiap hari sebelum masuk tidur, dia berdoa agar luka di kakinya cepat pulih seperti sediakala. 'Ya Allah, sembuhkanlah kakiku! Aku nak berjalan semula'.

"Sudah lama dia menghidap kencing manis, dan kakinya sudah jadi sendi Charcot's tahap 4, iaitu deformasi kaki kerana komplikasi penyakit kencing manis.

"Ini menyebabkan tapak kakinya sering mendapat luka sehingga mengganggu keupayaannya berjalan. Sudah enam bulan dia berkerusi roda," tulis doktor berkenaan.



Sebahagian posting Dr Kamarul Ariffin mengenai pesakitnya yang menghidap diabetes.

Menurut Dr Kamarul Ariffin, demi melihat kakinya sembuh semula, pesakit berkenaan mengamalkan disiplin yang ketat iaitu mengikuti setiap saranan doktor serta berpantang dalam pemakanan.

"Dia mula taat pada perintah-Nya. Solat dikerjakan tepat pada masanya, lima kali sehari. Segala yang dituntut, diamalkan setiap hari. Malangnya, seminggu selepas itu, lukanya bernanah dan kakinya membengkak, kesihatannya merosot.

"Kuman dari luka di kakinya telah merebak ke dalam peredaran darah. Kaki tersebut perlu potong di paras keting untuk menyelamatkan nyawanya. Selepas pembedahan itu, dia telah dirujuk kepada Jabatan Rehabilitasi untuk pemulihan selanjutnya. Aku yang menerima rujukan itu.

"Ketika sudisiasat verbal, dia ceritakan kisahnya. 'Doktor, kenapa Allah tak endahkan doa saya? Saya dah ikhtiar, saya dah usaha, saya dah tawakal, tapi kaki saya akhirnya kena potong juga?'. Susah juga nak jawab soalan macam ni," cerita Dr Kamarul Ariffin.



Pesakit berkenaan mengamalkan disiplin yang ketat iaitu mengikuti setiap saranan doktor serta berpantang dalam pemakanan untuk sembuh, namun kakinya tidak dapat diselamatkan. Gambar hiasan.

Tambah doktor ini, persoalan yang dikemukakan menyentuh mengenai agama justeru ia perlu dijawab dengan penuh berhemah dan mudah difahami serta diterima oleh pesakit tersebut.

"Sebenarnya, Allah nak makbulkan doa pakcik tu. Macam ni, pakcik. Tulang dan sendi kaki pakcik tu dah rosak dan berubah bentuk. Jadi apabila pakcik berjalan, luka mudah berlaku. Ia akan berulang-ulang, selagi pakcik cuba berjalan dengan kaki tu.

"Sebab tu Allah takdirkan kaki tu dipotong. Nanti pakai kaki palsu, bolehlah berjalan semula. Kalau Allah tak uji pakcik, saya rasa sampai sekarang pakcik tak jaga paras gula pakcik.

Sesungguhnya Allah beri pesakit ini lebih banyak daripada apa yang diambil daripadanya. Rencana-Nya sempurna.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

DOKTOR

"Sebelum kaki pakcik sakit, pakcik tak jaga makan dan selalu tinggal ubat. Kan? Dunia belum berakhir jika kaki dipotong, pakcik," tulis doktor ini mengimbas kembali perbualannya dengan pesakit tersebut.

Cerita Dr Kamarul lagi, selang beberapa bulan, pesakit ini kembali bertemu dengannya untuk temujanji rawatan susulan, namun wajahnya begitu ceria ketika berkongsi cerita mengenai perkembangan dirinya.

"Doktor, saya dah boleh berjalan. Pergi ke surau pun saya boleh jalan kaki, cuma masa nak sembahyang saya kena buka kaki palsu. Oklah daripada tak boleh berjalan, kan? Katanya sambil tersenyum.



Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan sering membuat perkongsian mengenai hal kesihatan dan pengalamannya di laman Facebook.

"Janganlah kita pandang serong kepada Allah. Secara zahir kelihatan seperti doa pesakit ini tidak didengari kerana semakin dia berusaha semakin penyakitnya parah. Namun, kita tak sedar sebenarnya Allah ada rencana buatnya.

"Sesungguhnya Allah beri pesakit ini lebih banyak daripada apa yang diambil daripadanya. Rencana-Nya sempurna," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain