suria

Pemandu wanita maki pemuda buat permohonan maaf, minta sebarkan positiviti - “Jika saya betul, saya maafkan semua”

Pemandu wanita yang tular susulan videonya memaki seorang pemandu lain, memohon maaf menerusi Instagram.

SELEPAS dikecam teruk, pemandu wanita yang videonya tular gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pemandu lain dalam satu pertengkaran pada Selasa, akhirnya memohon maaf.

Wanita yang dikenali sebagai Prof Madya Dr Bahariah Khalid itu membuat permohonan maaf menerusi akaun Instagramnya, @bahariahkhalid_ Mengikut profil di Instagram miliknya, dia merupakan pensyarah dalam bidang perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah staf UPM! Wanita maki, doakan pemuda kena Covid-19 selepas buat u-turn kini disiasat

ARTIKEL BERKAITAN: Hon panjang u-turn punya hal! Wanita dipercayai doktor mencarut, siap doakan pemuda kena Covid-19 - “Dia tunjuk stethoscope sambil cakap 'kau nampak ni'!”

"Jika saya salah, saya minta maaf. Jika saya betul, saya maafkan semua. Spread the positivity (sebarkan positiviti)," tulisnya pada satu posting yang dimuat naik lewat malam Rabu.

Posting tersebut dimuat naik dengan memaparkan gambar bertulis perkataan 'MAAF'.

Wanita tersebut menjadi perhatian ramai sejak Selasa, selepas videonya mengeluarkan kata-kata makian kepada seorang pemandu lain menjadi tular.

Video berdurasi lebih dua minit itu dimuat naik di akaun @Fadzmin memaparkan kereta yang dipandu pemuda tersebut hampir sahaja bertembung dengan kereta yang dipandu seorang wanita yang membuat pusingan U secara melulu.



Permohonan maaf yang dimuat naik di Instagram.

Pemuda berkenaan kemudian membunyikan hon sebagai tanda tidak berpuas hati, namun tindakan tersebut mengundang rasa bengang pemandu wanita berkenaan lantas mengeluarkan kata-kata makian.

Menerusi satu video berasingan yang dirakam penumpang keretanya, pemandu wanita dalam lingkungan pertengahan umur itu mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika mereka berhenti di lampu isyarat.

Dalam riak wajah marah, pemandu wanita berkenaan mendoakan agar pemuda berkenaan dijangkiti wabak Covid-19.

Pada mulanya, pemandu wanita berkenaan didakwa merupakan seorang doktor, namun sebaliknya dia adalah staf Universiti Putra Malaysia (UPM).

Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi satu kenyataan pada petang Rabu melahirkan kekesalan ekoran sikap kakitangan mereka.

Dalam masa yang sama, Hospital Serdang tampil dengan satu kenyataan menafikan pemandu wanita berkenaan adalah doktor yang bertugas di hospital berkenaan mahupun kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain