suria

Baring di lantai jam 3 pagi menangis pandang siling, lari keluar kelas, tapi gadis alami gangguan mental ini dapat 11A dalam SPM, PT3... ini nasihatnya!

Gadis bernama Amirah berjuang dengan masalah gangguan mental sejak berusia 14 tahun dan sedang mendapatkan rawatan mengenai penyakit yang dialaminya.

ISU kesihatan mental sememangnya bukan perkara yang boleh dipandang remeh.

Sekiranya lambat dirawat, dibimbangi kesannya akan lebih buruk untuk tempoh jangka panjang.

Menerusi kisah yang dikongsi oleh seorang gadis, dia mendedahkan dirinya sedang berjuang untuk bebas daripada penyakit gangguan mental yang dialaminya sejak berusia 14 tahun lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Parah! Gadis dedah alami depresi... pernah cedera, menangis dalam solat mohon lupakan Akhyar Rashid - “Makan tak lalu, tidur susah... macam nak gila”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya mesej emak, beritahu tak mahu teruskan hidup” - Kulit muka teruk, dipukul dan dihentak sehingga ganggu otak... gadis ini derita depresi 

Hanya mahu dikenali sebagai Amirah, gadis ini berkata pada peringkat awal penyakit tersebut, dia sering menangis dan berasa cepat putus asa.

“Sebenarnya mula-mula saya tak tahu juga yang apa saya lalui tu depression... tapi saya tak tahu nak cakap dengan siapa, saya pun Google saja. Saya Google kenapa saya selalu rasa sedih, kenapa selalu rasa macam nak give up… sejak tu baru saya tahu.

“Saya pernah struggle juga dengan social anxiety disorder, selalu kalau buat presentation gelisah sangat sebab rasa macam semua tengah judge saya,” ujarnya kepada mStar.


Beberapa ujian yang perlu dilalui oleh Amirah sebelum dia didiagnosis mengalami gangguan mental.

Menurut Amirah, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada gangguan yang dialaminya itu.

“Faktor utama, masalah menyesuaikan diri di sekolah baharu sebab tak ada kawan sekolah rendah yang saya kenal di sekolah menengah. Kawan saya pun tak ramai, lepas tu adalah perselisihan. Saya rasa sejak itulah ia bermula.

“Tambahan pula saya diejek oleh rakan sekelas. Dengan masalah family lagi. Jadi, masalah bertimbun, tapi tak ada sesiapa untuk tolong saya,” kata gadis yang kini berusia 18 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut Amirah berkata dia masih teringat beberapa peristiwa yang pernah dilaluinya sebelum ini, yang sebenarnya mempunyai kaitan dengan kecelaruan yang dialaminya kini.

Amirah turut memuat naik perkongsian menerusi satu bebenang di Twitter mengenai masalah yang dialami.

“Kalau anxiety, masa tingkatan 3, saya di dalam kelas tapi saya rasa macam tak ada sesiapa berbual dengan saya, tapi classmate saya semua berborak sakan. Tiba-tiba saya rasa panik, macam sekeliling saya terlalu bising. Saya nak menangis masa tu, fikiran bercelaru, terus lari keluar kelas.

“Mengenai depression pula, saya ingat lagi… saya terbaring dalam bilik saya pukul 3 pagi atas lantai menghadap siling, terasa kosong sangat hati saya, tiba-tiba mula menangis. Mengenai kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD), salah satu simtomnya ialah terlupa di mana kita letak benda penting. Sebelum pergi sekolah saya selalu lambat siap 10 minit sebab cari phone sebab saya lupa letak kat mana,” ujarnya.

Amirah juga mengakui dia pernah terfikir untuk bunuh diri terutamanya ketika mengalami depresi yang teruk, namun dia masih berjaya mengawal keadaan dirinya.

Tambahan pula saya diejek oleh rakan sekelas. Dengan masalah family lagi. Jadi, masalah bertimbun, tapi tak ada sesiapa untuk tolong saya.

AMIRAH

PESAKIT MENTAL

Hampir memasuki tahun kelima berjuang dengan gangguan mental dan memendam masalah bersendirian, Amirah akhirnya memberanikan diri untuk mendapatkan rawatan pakar terapi dan psikiatri.

“Masa saya mula sambung pengajian di kolej Julai tahun ni, saya cuba apply untuk terapi. Di kolej saya Alhamdulillah, terapi adalah percuma untuk pelajar.

“Psikiatri yang saya jumpa dan ahli terapi ada bagi beck depression/anxiety inventory. Untuk ‘anxiety inventory’ pakar psikiatri ada bagi Adult ADHD Self Report Scale Symptom Checklist juga. Jadi sebenarnya diagnosis masih berjalan, tapi saya sedang diuji untuk depresi, kebimbangan (anxiety) dan ADHD,” katanya.

Sungguhpun dirinya dibelenggu dengan masalah gangguan mental, anak kedua daripada enam adik beradik ini berjaya membuktikan penyakitnya bukan alasan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Amirah bergambar bersama trofi yang dianugerahkan sekolahnya selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Gadis ini berjaya memperoleh 11A masing-masing untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Kadang-kadang orang tak percaya kita sedang struggling sebab nampak happy dan cemerlang.

“Ramai orang ada perasaan macam ni… mereka pendam. Saya harap sangat mereka atasi perasaan takut untuk dapatkan bantuan. Saya berharap mereka akan menjadi pejuang untuk diri sendiri dan untuk melawan stigma di Malaysia dengan memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain