suria

Kerja penat-penat, pencuri ‘sedap’ shopping... swipe 5 kad bank dalam masa sejam! Pelajar nasihat orang ramai jangan ulang kesilapannya

Nasib malang menimpa seorang pelajar apabila beg duitnya dicuri dan wang berjumlah kira-kira RM1,000 dibelanjakan menggunakan kad banknya.

"SUDAHLAH itu duit hasil titik peluh buat servis penghantaran sebab nak tampung perbelanjaan harian dan bayar yuran pengajian! Ehh, boleh pula dia belanja guna paywave sampai RM1,000," luah seorang lelaki yang kehilangan beg duit.

Nasib malang ini menimpa seorang pelajar selepas menyedari dompetnya dicuri oleh individu tidak bertanggungjungjawab ketika sedang leka 'window shopping' di sebuah premis pakaian di IOI Mall Puchong, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jubah koyak masuk celah rim, didenda RM500 diploma kena tahan... Warga Twitter hulur sumbangan pun kena kecam

Wan Muhammad Shadiqin Wan Halim mengakui kejadian berlaku disebabkan kecuaiannya sendiri ketika sedang leka membeli belah.

"Sebenarnya ia berlaku atas kecuaian saya sendiri dan masa kejadian saya tengah tengok-tengok baju di sebuah kedai. Jadi saya letaklah wallet saya atas rak seluar, lepas tu saya pergi ke bahagian baju. Langsung tak perasan yang wallet saya tertinggal atas rak tu, lupa nak ambil," katanya ketika dihubungi mStar.

Shadiqin menyedari bahawa dompet miliknya hilang selepas meninggalkan sebuah premis pakaian.

Mesra disapa sebagai Shadiqin, dia berkata ketika sedang asyik memilih pakaian, tiba-tiba dia menyedari bahawa dompetnya tiada dan mula mencarinya di sekitar premis berkenaan.

"Masa tu saya seorang saja, bila dah sedar yang wallet tak ada saya pergi semula ke tempat tadi tapi tak ada, dalam beberapa minit sahaja saya tinggal.

"Saya tanya beberapa orang yang ada di situ dan mereka cakap tak nampak. Tak ada pula saya syak sesiapa. Sebab tak pasti sangat betul ke wallet saya hilang dekat situ, saya keluar dan pergi pula kedai lain yang saya dah masuk sebelum ni tapi tetap tak jumpa," kongsinya lagi.

Merupakan seorang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Kuala Lumpur, dia berkata pencuri tersebut bukan sahaja mengambil barang-barang dalam dompet itu, malah turut menggunakan lima kad bank miliknya.

Itu duit simpanan hasil titik peluh saya bekerja untuk tampung perbelanjaan harian, bayar yuran pengajian semua. Saya sanggup buat kerja sampingan servis penghantaran dalam kampus. Saya ambil, hantar orang. Penat saya kumpul, tergamak dia buat macam ni.

WAN MUHAMMAD SADIQIN WAN HALIM

PELAJAR

"Tengah serabut cari kat mana dompet tu, tiba-tiba dapat mesej yang ada seseorang telah berbelanja menggunakan lima kad bank saya secara 'paywave'. Terkejut sangat masa tu bila tengok jumlah yang dia belanjakan mencecah RM1,000.

"Luluh jantung tengok jumlah tu, itu duit simpanan hasil titik peluh saya bekerja untuk tampung perbelanjaan harian, bayar yuran pengajian semua. Saya sanggup buat kerja sampingan servis penghantaran dalam kampus. Saya ambil, hantar orang. Penat saya kumpul, tergamak dia buat macam ini," luah Shadiqin.

Jelas lelaki berusia 20 tahun ini, dia menganggarkan semua urusan pembelian dibuat dalam masa sejam dan selepas menerima mesej tersebut dia terus menghubungi pihak bank dan meminta supaya kesemua akaun banknya dibekukan dari sebarang transaksi keluar masuk.

Susulan itu, dia kemudiannya pergi membuat laporan berhubung kehilangan dompet di Balai Polis Gombak, Kuala Lumpur.

Posting yang dimuatnaik oleh rakannya menerusi InstaStory berhubung kes kehilangan dompet.

"Risau sangat masa tu takut kalau-kalau dia shopping lagi, saya terus hubungi pihak bank minta mereka bekukan semua akaun bank saya. Itulah salah saya, tak bertindak cepat selepas sedar wallet hilang.

"Ini tak, saya fokus mencari buang masa tanya orang sana sini. Sekali orang tu dah guna duit saya. Kalau saya hubungi awal-awal pihak bank mesti selamat duit simpanan saya. Lepas tu, saya terus pergi buat report polis masa hari kejadian juga," ujar pelajar semester tiga, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Komunikasi) ini.

Malah kata anak sulung daripada empat orang adik beradik ini, dia sedikit kesal dengan sikap individu terbabit dan turut berkongsi insiden malang ini bersama keluarga serta rakan-rakannya.

"Lepas dah selesai semua, saya cerita dengan kawan-kawan, ibu dan ayah. Ibu dan ayah mula-mula tu marah juga tapi mereka cakap benda dah tak boleh nak buat apa lagi cuma nasihat saja lepas ni kena selalu beringatlah," katanya.

Posting yang dimuatnaik oleh seorang rakan tular di Twitter dengan meraih kira-kira 3,385 ulang kicau.

Tular baru-baru ini satu posting yang dimuatnaik oleh seorang gadis dikenali sebagai Syasya di laman Twitter dengan kapsyen, 'Tolong Viralkan! Kawan penat cari duit jadi transporter hantar orang sana sini, tapi akhirnya wallet kena curi dan RM1,000 dari duit simpanan dia digunakan pakai 'paywave'.

Tambah Shadiqin lagi, posting yang tular itu telah dimuatnaik oleh salah seorang rakan sekuliah tanpa pengetahuannya.

Malah katanya, dia hanya mengetahui hal itu selepas salah seorang daripada rakan baiknya memaklumkan hal tersebut.

"Pada mulanya, saya tak tahu yang Syasya ada post di Twitter. Sampailah satu kawan ni call saya tanya, 'kenapa tak bagitahu pasal ni, dia boleh tolong' dan masa tu baru saya tahu.

"Berkenaan dengan gambar dan nombor akaun saya, Syasya ambil dari satu posting di InstaStory kawan saya dan dia post semula di Twitter," jelas pelajar ini.

Perbualan mesej Shadiqin meminta rakannya, Syasya supaya ucapkan terima kasih daripada pihaknya.

Namun apa yang lebih memeranjatkan, dia turut menerima sumbangan ikhlas daripada warga Twitter bagi meringankan beban selepas rakan kuliahnya, Syasya memuatnaik posting tersebut.

"Terkejut dan tak percaya, sampaikan ramai yang tampil menghulurkan pertolongan termasuklah individu yang tidak dikenali. Terima kasih juga pada Syasya dan kawan-kawan yang lain," luahnya.

Kongsi Shadiqin, dalam masa sehari sahaja posting itu dikongsi, dia sudah memperoleh sumbangan malah melebihi jumlah kerugian.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana, saya sangat bersyukur tak sangka ada yang sudi bagi sumbangan walaupun mereka tak kenal saya. Jumlah yang diterima sudah mencukupi, malah terlebih," kata Shadiqin.

Jelas pelajar ini, dia kemudian memuatnaik satu posting berhubung nilai sumbangan yang diterimanya sudah mencukupi selain memohon orang ramai supaya berhenti membuat transaksi.

Posting yang dimuatnaik dengan ucapan terima kasih.

Tidak hanya itu, dia juga turut menerima kecaman apabila ada yang berpendapat tindakannya itu sebagai kelalaian sendiri.

"Saya sendiri tak nafikan ada sesetengah cakap 'benda macam ni pun nak meminta', tapi itulah apa yang boleh saya cakap, benda ni bukan saya yang minta. Kawan-kawan yang post dan tolong. Saya anggap ini rezeki, duit hasil titik peluh saya hilang macam tu saja sebab kena curi dan Allah ganti dengan cara ini.

"Bagi yang dah bantu saya, terima kasih sangat-sangat. Cuma satu saja saya nak pesan, jika lepas ni wallet kamu hilang benda pertama yang perlu kamu lakukan hubungi pihak bank untuk bekukan akaun.

"Saya faham zaman sekarang semua nak senang 'cashless' tapi perlu ingat ada kesan lain juga. Ada baiknya sekat sahaja paywave dan berbelanja secara tunai sahaja sebab ini lebih baik," nasihatnya kepada orang ramai.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
wallet, paywave, duit, kerja sambilan

Artikel Lain