Peminat nyanyi sepentas dengan Sudirman, kemudian saling berutus surat, “Lagu belum keluar radio, saya dah dapat dulu” - Viral | mStar

Peminat nyanyi sepentas dengan Sudirman, kemudian saling berutus surat, “Lagu belum keluar radio, saya dah dapat dulu”

Salah satu surat yang dikirim Allahyarham Sudirman kepada Hafizah pada 1986. -foto Hafizah Abdul Gafoor

'BALIK kampung ooo... ooo... ooo balik kampung, hati girang' menjadi antara lagu popular nyanyian penyanyi legenda Malaysia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang masih dimainkan di radio lebih-lebih lagi menjelang Syawal.

Setiap tahun pada hari kelahirannya iaitu tanggal 25 Mei, penghibur kesayangan ramai ini pasti akan dikenang oleh para peminatnya di seluruh tanah air.

Bukan sahaja diminati kerana bakat dan sikapnya yang menyenangkan, beliau juga disayangi kerana sentiasa menghargai peminat-peminatnya apabila sanggup meluangkan masa membalas surat-surat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Google doodle istimewa sempena ulang tahun kelahiran Sudirman

ARTIKEL BERKAITAN: Saya Pun Ada Juga!

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-65, Sabtu lalu, salah seorang peminat tegar, Hafizah Abdul Gafoor mengimbas kenangan manis bersama penyanyi itu yang beberapa kali membalas suratnya pada 1986.

Kiriman surat lirik lagu Apa Khabar Orang Kampung yang ditulis  sendiri oleh Sudirman buat Hafizah.

"Pernah satu hari tu, saya pergi ke konsert Sudirman di Pulau Pinang pada tahun 1986 dan secara tiba-tiba, saya dipanggil naik ke pentas untuk menyanyi lagu Jump nyanyian Bon Jovi bersama-samanya. Perasaan ketika itu memang sangat gembira sebab dapat menyanyi dengan artis kesayangan!

"Selepas menyanyi, dia hadiahkan saya satu kaset dan buku yang mengisahkan tentang hidupnya.

"Jadi selepas itu saya terdetik hati nak cuba hantar surat kepadanya buat pertama kali sebagai tanda menghargai pemberiannya kepada saya. Selepas sebulan, saya tak sangka dia balas surat itu," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Lagu-lagu Sudirman membuatkan saya teringatkan satu peristiwa... masa tu surat yang saya terima daripada dia tertulis lirik lagu 'Apa Khabar Orang Kampung' tapi ketika itu lagu tu belum keluar lagi.

HAFIZAH ABDUL GAFOOR

Sejak mendapat balasan surat tersebut, Hafizah yang ketika itu berusia 21 tahun sering menghantar surat bertanya khabar kepada penyanyi kesayangannya itu sehinggalah Malaysia dikejutkan dengan berita Sudirman mengalami masalah kesihatan sekitar 1991.

Lebih menyentuh hati, penyanyi popular sepanjang zaman itu tetap membalas surat pemberian Hafizah yang dipanggilnya dengan panggilan 'adik' walaupun keadaan kesihatannya dikhabarkan tidak baik.

Hafizah berkata, melihat kepada kiriman surat-suratnya, setiap bahasa yang digunakan sungguh indah apabila dibaca dan penyusunan ayatnya sangat sempurna.

Antara gambar berserta tanda tangan yang diterima Hafizah daripada Sudirman.

Wanita yang berusia 54 tahun ini juga memberitahu dia mula mengikuti perkembangan karier Sudirman sejak menyertai pertandingan di Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Sehingga sekarang, saya hanya dengar lagu-lagu Sudirman sahaja dan kesemua lagunya adalah kegemaran saya sehingga hari ini.

"Lagu-lagu Sudirman membuatkan saya teringatkan satu peristiwa... masa tu surat yang saya terima daripada dia tertulis lirik lagu 'Apa Khabar Orang Kampung' tapi ketika itu lagu tersebut belum keluar lagi.

"Beberapa bulan selepas tu, barulah lagu tu keluar dekat radio. Perasaan masa tu sangat terharu sebab dia tulis sendiri lirik lagu tersebut kepada peminat-peminatnya terlebih dahulu," katanya yang kini menetap di Georgetown, Pulau Pinang.

Hafizah bersama dua anak lelakinya, Muzaimir (kanan) dan Mukhriz.

Hafizah yang berniaga secara online juga mengakui Sudirman mempunyai sikap suka merendah diri dan sentiasa mendekatkan diri dengan peminat-peminatnya. 

Beliau juga tidak pernah meletakkan jurang popularitinya antara seorang penghibur dan peminat.

Dalam pada itu, beberapa keping surat dan gambar pemberian Sudirman kepada Hafizah dimuat naik oleh anak lelakinya, Muzaimir Mokhtar menerusi akaun Twitter  @MuzaimirMokhtar sehingga menjadi perhatian netizen.

Posting tersebut telah menerima kira-kira 10,000 ulang kicau dan 11,000 tanda suka.

Allahyarham Sudirman meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru pada 22 Februari 1992 di usianya 37 tahun.

Datuk Sudirman Arshad , peminat , Syawal

Artikel Lain

Agong bantu mangsa kemalangan