SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengambil keputusan meninggalkan parti selepas permintaan supaya anaknya dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit tidak dipenuhi.Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Asyraf meluahkan rasa sedih dengan keputusan Puad keluar UMNO, namun pada masa sama menyifatkan dakwaan kononnya parti itu dikawal pihak luar sebagai fitnah yang mengelirukan. Beliau turut mendedahkan bahawa, Puad pernah menghantar surat panjang kepadanya mengugut akan meninggalkan dan menyerang UMNO sekiranya pucuk pimpinan parti tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit."Beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit," ujarnya mendedahkan situasi sebenar di Facebook rasminya.Walau bagaimanapun, Asyraf mengakui anak Puad mempunyai potensi kepimpinan.Namun baginya, pemilihan calon perlu mengambil kira pelbagai faktor dan tidak boleh dibuat semata-mata atas dasar kesinambungan keluarga.ARTIKEL BERKAITAN: Puad Zarkashi umum keluar parti, dakwa UMNO Johor dikawal ‘tangan ghaib’ARTIKEL BERKAITAN: Onn Hafiz sangkal dakwaan Puad Zarkashi, pembubaran DUN Johor bukan arahan istanaJelasnya lagi, tindakan seorang pemimpin veteran mendesak parti supaya anaknya menggantikan tempatnya sebagai calon adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip perjuangan UMNO.Asyraf turut mendakwa ini bukan kali pertama Puad mengugut untuk keluar parti apabila tuntutannya tidak dipenuhi, malah perkara sama didakwa pernah berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Presiden UMNO apabila Puad mahu dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat."Cukup-cukuplah UMNO ini diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin. "Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu," tegasnya lagi.Terdahulu, Puad mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti UMNO berkuat kuasa serta merta pada Khamis.Beliau yang juga Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut menafikan keputusan drastik berkenaan bukanlah didorong kepentingan peribadi.Pada Khamis, BN mengumumkan senarai penuh 56 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. -The Star