Mahkamah Koroner pada Selasa mendengar keterangan saksi ketiga, Dr Janefer Voo ketika Allahyarham Zara dibawa ke HQE.
MAHKAMAH Koroner pada Selasa diberitahu bahawa doktor yang mula-mula merawat Zara Qairina Mahathir ketika mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu tidak mengesan sebarang tanda penderaan fizikal pada tubuh remaja itu.Pegawai perubatan HQE, Dr Janefer Voo berkata beliau merupakan individu pertama yang memberi respon terhadap kes itu pada pukul 4.38 pagi, sebelum dibantu oleh anggota lain dari unit kecemasan. Menurutnya, kecederaan awal yang dapat dilihat adalah di bahagian belakang kepala Zara, termasuk kesan bengkak dan pendarahan, selain retak terbuka pada buku lali kiri serta retak tertutup pada buku lali kanan.ARTIKEL BERKAITAN: Pakar forensik sahkan tulisan tangan sepadan dalam kes ZaraBeliau berkata, amaran trauma diaktifkan pada pukul 4.42 pagi, diikuti dengan prosedur rawatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa.Dr Voo turut mengesyaki mangsa mengalami kecederaan otak traumatik yang serius, kecederaan pada bahagian belakang kepala, patah tulang di kedua-dua kaki serta pergelangan tangan kiri, selain berkemungkinan mengalami kecederaan dalaman.Dalam keterangannya kepada mahkamah, Dr Voo menjelaskan tekanan darah Zara yang terlalu rendah ketika tiba di hospital mencetuskan kebimbangan terhadap pendarahan dalaman akibat hentakan kuat.Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang lebam atau kesan penderaan lain pada tubuh mangsa, selain kecederaan fizikal yang telah dikenal pasti pada kepala, tangan kiri dan kedua-dua buku lali.Beliau menambah, pasukan kecemasan dan trauma HQE telah menjalankan segala prosedur mengikut protokol kecemasan untuk menyelamatkan dan menstabilkan keadaan remaja perempuan berusia 13 tahun itu.Dr Voo juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa ketika Zara tiba di unit kecemasan pada pukul 4.38 pagi, dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.Dr Voo merupakan saksi ketiga dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang berlangsung pada minggu kedua di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan. -The Star