suria

Kesilapan papar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tidak boleh diterima - Agong

Baginda bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara. FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KESILAPAN pada gambar Jalur Gemilang seperti yang dipaparkan pada muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan tidak boleh diterima, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.

Sultan Ibrahim turut bertitah bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah dan erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

"Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

"Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima," titah baginda pada Rabu, di Facebook.

Sultan Ibrahim bertitah, pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu pada Selasa.

Akhbar itu dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

 

Artikel Lain