suria

Malaysia tuan rumah WTD, WTC 2025… Melaka jadi tumpuan dunia

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (kiri) ketika menerima plak semasa WTD 2024.

MALAYSIA bakal menjadi tuan rumah sempena Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia atau World Tourism Conference (WTC) bagi 2025.

Ini merupakan kali kedua Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah WTD, yang mana kali terakhir pada tahun 2004.

Acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan dengan kerjasama UN Tourism ini akan berlangsung dari 27 hingga 29 September di Melaka.

Ia bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya serta keindahan alam semula jadi.

Melaka jadi tumpuan dunia

Sebagai bandar tuan rumah bagi WTD dan WTC 2025, Melaka bakal mengukuhkan imej Malaysia sebagai hab pelancongan global.

WTD 2025 yang bertemakan Pelancongan dan Transformasi Mapan (Tourism and Sustainable Transformation) dipilih dalam mesyuarat UN Tourism di Phnom Penh, Kemboja dan disahkan dalam Perhimpunan Agung ke-25 UN Tourism.

WTD diadakan setiap 27 September sejak 1980 bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sektor pelancongan kepada ekonomi, sosial dan budaya, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Melaka menjadi bandar tuan rumah bagi WTD dan WTC tahun 2025.

Persidangan pelancongan bertaraf dunia

Sementara itu, WTC pula merupakan acara eksklusif tiga tahun sekali yang menjadi platform perbincangan pemimpin industri pelancongan, pembuat dasar dan pakar dari seluruh dunia mengenai hala tuju sektor ini.

Dengan penyertaan lebih 160 negara, Malaysia akan memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari dan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu terhadap pembangunan sosial, budaya, politik dan ekonomi.

Kira-kira 800 peserta dari seluruh dunia dijangka menghadiri dua acara mega ini.

Malaysia akan memanfaatkan platform ini untuk menonjolkan komitmennya terhadap kelestarian dan warisan budaya, dengan mempersembahkan pendekatan holistik dan seimbang terhadap pelancongan.

Dorong ekonomi dan kempen VM2026

Penganjuran dua acara ini mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global serta menunjukkan komitmen terhadap kelestarian dan budaya negara.

Ia juga meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan, mengoptimumkan pulangan pelaburan (ROI) dan memperluaskan visibiliti Malaysia dalam kalangan negara ahli UN Tourism.

Secara tidak langsung, ia menarik lebih ramai pelancong dan menyokong kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Melalui WTD dan WTC 2025, Malaysia menekankan strategi memperkasa sektor pelancongan dalam mencapai SDG 2030.

Tema ini sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi, impak sosial, serta pembangunan mampan berteraskan elemen People, Planet dan Prosperity.

Artikel Berikut

Menentukan hala tuju Asean

Artikel Lain