HUKUMAN sebatan syariah yang dikenakan terhadap pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada petang Jumaat adalah sah di sisi undang-undang. Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, sebatan itu mengikut peruntukan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, khususnya Seksyen 125 yang menetapkan kaedah pelaksanaan sebatan yang berperikemanusiaan. Ia menggunakan alat sebatan yang ringan, diperbuat daripada rotan kecil; kekuatan sederhana tanpa mencederakan pesalah; dan kawasan yang dibenarkan untuk disebat adalah terhad dan tidak melibatkan bahagian sensitif seperti muka, kepala, perut, serta dada. "Ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah. SOP ini memperuntukkan bahawa lokasi pelaksanaan sebatan boleh dilakukan di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. "Pemeriksaan kesihatan pesalah dilakukan oleh pegawai perubatan kerajaan bagi memastikan pesalah berada dalam keadaan sihat sebelum hukuman dijalankan. "Selain itu, pelaksanaan sebatan dilakukan oleh individu yang terlatih, menggunakan alat yang memenuhi piawaian ditetapkan, dengan kaedah sebatan yang sederhana tanpa mencederakan kulit atau bahagian badan pesalah," katanya pada Jumaat. Beliau berkata demikian kepada pemberita di perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah sejurus selesai hukuman sebat dijalankan terhadap tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42. ARTIKEL BERKAITAN: Pesalah khalwat berulang selesai disebat 6 kali di khalayak ramai ARTIKEL BERKAITAN: Khalwat: 70 individu dibenar masuk ke tempat hukuman sebat, polis kawal keselamatan Menurut PPMM, hukuman tersebut tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang mana berlandaskan kuasa Dewan Undangan Negeri, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan. "Bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman ini telah diperkukuhkan melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). "Justeru, pelaksanaan hukuman sebat dengan berpakaian menutup aurat, lebih berperikemanusiaan serta mengikut hukum syarak adalah dengan jelas tidak melanggar mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 5," katanya. PPMM turut menyangkal dakwaan bahawa sebatan syariah adalah kejam atau melanggar prinsip hak asasi manusia. "Pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka di Terengganu adalah untuk mendidik masyarakat secara kolektif mengenai kepentingan mentaati perundangan Islam. "Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa," katanya. Dalam pada itu, PPMM turut menyeru semua pihak untuk tidak mengelirukan masyarakat, mempolitikkan isu hukuman sebat yang berlangsung di Terengannu pada Jumaat. Menurutnya, masyarakat perlu memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman sebatan syariah. "Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada sistem undang-undang negara yang sah, dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat melalui perspektif sempit atau prejudis. "PPMM juga menyeru agar Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain turut menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan di Terengganu agar perkara ini dapat membuka mata masyarakat, mengarusperdanakan syariah dan menjunjung hukum syarak," katanya, Pada petang Jumaat, tertuduh yang merupakan duda lima anak dikenakan enam sebatan di hadapan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah kerana kesalahan khalwat berulang. Pada 20 November lalu, hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube