suria

Mahadi tiada lesen, orang ramai buat aduan dan pertanyaan - Suruhanjaya Sekuriti

Posting di aplikasi X (gambar kecil) yang tular tentang isu nama Mahadi dalam Senarai Peringatan Pelabur, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SEJAK beberapa hari lalu kecoh mengenai berita mengaitkan usahawan, Mahadi Badrul Zaman, susulan dakwaan namanya tersenarai dalam senarai amaran pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Mahadi dalam maklum balasnya kepada mStar mendakwa syarikatnya tidak melakukan sebarang penipuan malah akan mendapatkan penjelasan daripada SC mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu, SC pada Khamis memaklumkan Mahadi dan syarikatnya, AUF MBZ Consortium Plt didapati menjalankan urusan perniagaan dalam aktiviti terkawal dengan mempromosi saham syarikat awam tidak tersenarai (unlisted public company atau UPC), tanpa memegang lesen daripada suruhanjaya berkenaan.

"Oleh demikian, nama dan syarikat berkenaan telah dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur.

"Melalui senarai ini, pihak awam boleh mengenal pasti sama ada individu dan/atau entiti berlesen atau berdaftar untuk menawarkan, mempromosikan, atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia," menurut SC dalam kenyataan kepada mStar pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut nama dalam senarai amaran Suruhanjaya Sekuriti, suami Heliza Helmi pertahan syarikat... “Saya tak buat perkara haram”

Menurut suruhanjaya itu lagi, pihaknya menerima beberapa pertanyaan dan aduan daripada pihak awam berhubung aktiviti yang dijalankan oleh suami kepada penyanyi Heliza Helmi dan syarikatnya.

"SC mengambil serius semua aduan yang dikemukakan dan kekal komited dalam melaksanakan kuasa berkanunnya termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti dalam menegakkan integriti pasaran modal termasuk menjaga kepentingan pelabur," menurut kenyataan itu lagi.

SC dalam pada itu menyarankan orang ramai agar membuat semakan di laman web https://www.sc.com.my/investment-checker untuk mengesahkan sama ada individu dan/atau entiti diberi kuasa oleh SC untuk menawarkan, mempromosikan, atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain