suria

Bunuh teman wanita, bekas guru agama terlepas hukuman gantung

Hukuman gantung terhadap bekas guru agama itu digantikan dengan penjara 33 tahun dan dikenakan 12 sebatan.

HAKIM Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap seorang bekas guru agama, Abdul Ra'of Mohd Dimyati, kerana membunuh teman wanitanya, hampir sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd Yusof dalam penghakiman pada Khamis, membenarkan rayuan akhir Abdul Ra'of, 35, terhadap hukuman berkenaan.

Hukuman gantung terhadap Abdul Ra'of digantikan dengan penjara 33 tahun dan dikenakan 12 sebatan.

Bekas guru di sebuah sekolah rendah agama (SRA) itu disabitkan membunuh peniaga dalam talian, Nor Salina Nazir, 34, yang juga ibu tunggal kepada empat anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjual buah tikam kekasih bertubi-tubi sampai mati berdepan tali gantung

Kesalahan tersebut dilakukannya di kawasan lapang tepi sekolah itu di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pukul 8.30 malam, 5 Mei 2015.

Abdul Ra'of yang sewaktu kejadian berusia 26 tahun, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April 2018.

Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 10 Ogos 2020.

Terdahulu, peguam Muhammad Izzat Irfan yang mewakili Abdul Ra'of memaklumkan, pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pengecualian hukuman mati sejajar dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Muhammad Izzat yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman turut memohon pemenjaraan tidak melebihi 35 tahun kerana berhujah, anak guamnya tiada rekod jenayah, tidak mempunyai motif atau perancangan awal membunuh mangsa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain