suria

Sultan Selangor amat dukacita, tegur Abdul Hadi tak beradab

Sultan Selangor amat dukacita dengan kenyataan Hadi yang dianggap tidak beradab.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan menyifatkan Presiden Pas itu sebagai tidak beradab.

Ia susulan artikel tulisan Abdul Hadi pada 20 Februari yang bertajuk 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan' yang mana ia ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan Abdul Hadi agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raya Melayu yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam.

"Kenyataan sinis Tan Sri Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian.

"Ia juga tidak beradab daripada sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

"Kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini,” katanya.

Tambah Muhamad Munir, Abdul Hadi pastinya dapat memahami maksud sebenar Sultan Sharafuddin sekiranya dia lebih berhati-hati ketika meneliti titah ucapan baginda tempoh hari.

"Kenyataan Abdul Hadi yang dibuat terbuka di media sosial menggambarkan beliau tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Sultan Selangor serta tidak memahami intipati titah ucapan baginda.

"Ia khususnya berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019," demikian menurut surat itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain