suria

“Mereka berdua tak tertekan” - Syarikat bas jawab video tular pemandu bercumbu, tolong tukar gear

Syarikat bas memberi penjelasan berhubung video tular. Gambar kanan ihsan Warisan Express

VIDEO tular memaparkan seorang pemandu lelaki sebuah syarikat bas ekspres yang didakwa mencium pemandu bas utama yang merupakan seorang wanita nampaknya ada ‘plot twist’.

Selepas rakaman aksi itu dikongsi oleh seorang penumpang, seorang penumpang lain tampil menafikan kejadian tersebut dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah.

Terbaharu, syarikat bas berkenaan, Warisan Express turut tampil memberi penjelasan bahawa situasi yang berlaku melibatkan dua pemandu bas dalam video tular hanyalah salah faham saksi dan bukan seperti apa yang didakwa.

Bercakap kepada mStar, pegawai perhubungan awamnya yang hanya mahu dikenali sebagai Rex berkata, pihaknya telah menghubungi pemilik video dan kedua-dua pemandu bas untuk menyiasat kejadian sebenar.

Tangkap layar video pemandu lelaki.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa pemandu hanya adjust tempat duduk pemandu wanita yang sedang memandu, bagi memperbetulkan kotak speaker di belakang tempat duduknya.

“Kedua-dua pemandu tidak tertekan dengan kejadian yang berlaku kerana mengetahui apa yang mereka buat, dan tiada kesalahan dilakukan sebagaimana yang didakwa,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi pertahan pemandu bas, bukan bercumbu tapi baiki radio box! Perakam mohon maaf, mengaku tak pasti apa berlaku

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berkali-kali cium akak driver bas sedang memandu, siap tolong tukar gear... Patutlah tiba lewat 3 jam ambil penumpang

Dia bagaimanapun berkata, Warisan Express tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemilik video, tetapi menasihatkan semua pihak agar memberikan maklum balas dan aduan menerusi saluran yang betul dengan menghubungi atau melaporkan terus kepada mereka.

“Segala maklum balas dan aduan dapat membantu memperbaiki dan meningkatkan kualiti perkhidmatan operasi bas termasuk pemandu.

“Warisan Express menghargai mereka yang berani bersuara tetapi perlu memastikan kesahihan bagi mengelakkan salah faham berlaku,” ujarnya.

Ditanya sama ada pemandu lelaki dan wanita perlu ditugaskan secara berasingan bagi mengelakkan salah faham berulang, Rex menjelaskan, pemandu berlainan jantina masih perlu 'bergandingan' ketika bertugas bagi memastikan kelancaran operasi.

“Pada masa sama, ia juga membantu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sepanjang perjalanan,” katanya sambil menambah terdapat lebih 30 pemandu bas Warisan Express termasuk pemandu wanita.

Dalam pada itu, katanya, Warisan Express turut berterima kasih kepada penumpang yang tampil menjelaskan perkara sebenar, sekali gus membuktikan dakwaan yang timbul adalah tidak benar.

“Kami juga tidak meminta pemilik video untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menganggap ia sebagai salah faham dari pandangannya, dari tempat duduknya.

“Isu tersebut dianggap selesai selepas penumpang lain telah membuat penafian berhubung dakwaan yang berlaku. Kami berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” kata Rex lagi.

Warisan Express mengalu-alukan maklum balas bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti perkhidmatan. -Gambar ihsan Warian Express

Sementara itu, dia turut mengulas mengenai video kedua yang mendakwa pemandu bas lelaki menukarkan gear ketika pemandu wanita sedang memandu.

“Pihak syarikat masih sedang menjalankan siasatan berhubung video kedua tersebut,” katanya secara ringkas.

Menerusi perkembangan terbaharu, difahamkan perakam video telah membuat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya kerana merakam serta menyiarkannya tanpa kebenaran, termasuk membuat dakwaan melulu tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

Terdahulu, tular video yang menunjukkan aksi pemandu bas yang didakwa bercium dengan pemandu bas utama ketika sedang bergerak dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin di Johor ke Terminal Bersepadu Selatan (BTS) di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Menerusi klip video kedua yang turut tersebar, lelaki berkenaan juga dilihat membantunya menukar gear semasa pemandu wanita itu sedang mengendalikan bas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain