suria

Tekaan awal MRSM atau sekolah elit! Dr Sheikh Muszaphar respons finalis ‘Sekolah Terbaik Dunia’

Datuk Dr Sheikh Muszaphar bangga dan teruja dengan pencapaian dua buah sekolah Malaysia sebagai finalis 'Hadiah Sekolah Terbaik Dunia'.

PENCAPAIAN dua buah sekolah Malaysia yang disenaraikan dalam 10 finalis bagi menerima anugerah 'Hadiah Sekolah Terbaik Dunia', benar-benar membuatkan rakyat negara ini bangga dan teruja.

Berita gembira tersebut turut mendapat perhatian angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Menerusi laman Instagram, Dr Sheikh Muszaphar melahirkan rasa kagumnya kerana anugerah tersebut dicapai oleh sekolah bukan berstatus 'elit'.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 sekolah Malaysia tersenarai 10 finalis ‘Sekolah Terbaik Dunia’

"SK Kempadang dan SMK Kampong Jawa disenarai pendek untuk Sekolah Terbaik Dunia. Setinggi-tinggi tahniah. Saya beranggapan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) atau sekolah elit lain yang disenaraikan," tulisnya di laman tersebut.

Beliau turut memuat naik gambar tangkap layar (screenshot) berita yang disiarkan di laman mStar pada Khamis.

DR 2

Perkongsian Dr Sheikh Muszaphar di laman Instagram.

Dr Sheikh Muszaphar juga berkata beliau tidak pernah mendengar mengenai dua buah sekolah tersebut sebelum ini.

"Nampaknya saya perlu melawat mereka untuk melihat sendiri apa perkara yang membuatkan mereka sehebat ini. Para guru dan pelajar sekolah ini.

"Saya sebenarnya melakukan carian di Google untuk lihat di mana letaknya sekolah-sekolah ini," tulisnya lagi.

Nampaknya saya perlu melawat mereka untuk melihat sendiri apa perkara yang membuatkan mereka sehebat ini.

DATUK DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Pada Khamis, mStar melaporkan Sekolah Kebangsan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang, disenarai pendek Top 10 Hadiah Sekolah Terbaik Dunia untuk Inovasi.

Sementara itu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor pula disenarai pendek bagi Top 10 Hadiah Sekolah Terbaik Dunia bagi Mengatasi Kesusahan.

Setiap daripada dua sekolah ini berpeluang untuk memenangi wang tunai sebanyak AS$50,000 (RM219,650).

DR 1

Dr Sheikh Muszaphar membanggakan Malaysia apabila menjadi salah seorang calon yang dihantar ke angkasa lepas pada 2007.

Senarai pendek itu diumumkan secara dalam talian pada Khamis.

Ia dianjurkan oleh T4 Education, bertujuan untuk meraikan sekolah di peringkat global atas peranan dimainkan mereka dalam membangunkan generasi akan datang bagi pelajar dan sumbangan kepada kemajuan masyarakat, terutama selepas Covid-19.

Hadiah itu dianjurkan oleh T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain