suria

Wanita dibunuh, dibakar tepi sungai: Teman lelaki direman seminggu

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian susulan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar.

POLIS menahan teman lelaki kepada wanita yang dibunuh dengan mayatnya ditemukan dibakar di tepi sungai Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, Selasa lalu untuk membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, lelaki berusia 20 tahun itu direman selama tujuh hari bermula pada Sabtu.

Mior Faridalathrash, polis mendapat perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap lelaki tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dibunuh, dibakar tepi sungai: Polis soal siasat teman lelaki

"Siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita akan serahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Media terdahulu melaporkan, hasil bedah siasat ke atas mayat wanita itu mendapati punca kematian adalah akibat trauma tumpul di bahagian kepala dan kebakaran yang parah.

Mangsa dijumpai orang awam pada pukul 3.05 petang Selasa dalam keadaan terbakar di lokasi kejadian.

Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai.

Untuk rekod, pada Rabu, Mior Faridalathrash berkata seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah tampil untuk mengenal pasti mayat kakaknya yang dilaporkan hilang sejak Selasa (31 Mei).

Katanya, remaja tersebut membuat pengecaman terhadap mayat terbakar itu berdasarkan selipar, penyepit rambut dan subang pada hidungnya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain