suria

Wanita dibunuh, dibakar tepi sungai: Polis soal siasat teman lelaki

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian susulan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar.

POLIS sudah melakukan soal siasat terhadap teman lelaki kepada seorang wanita berusia 21 tahun dipercayai mangsa bunuh dan mayatnya yang terbakar ditemui di tebing sungai di Kuala Kangsar, Perak, pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah memanggil teman lelaki mangsa pada petang Rabu (1 Jun) untuk membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Wanita dibunuh sebelum dibakar di tepi sungai... Identiti masih belum dikenal pasti

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti mayat wanita dibunuh, dibakar dikenal pasti

"Kami tidak tahu lagi sama ada dia suspek atau sebaliknya, kerana proses siasatan sedang dijalankan.

"Butiran lanjut akan dimaklumkan kelak, sebaik keputusan bedah siasat keluar dan mangsa dikenal pasti secara rasmi," katanya kepada pemberita.

Mior Faridalathrash berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat, kerana polis sedang menunggu keputusan bedah siasat dikeluarkan hari ini (Khamis).

"Kita perlu mengetahui punca kematian, untuk mendapatkan sampel DNA bapa si mati untuk dipadankan, serta sampel pergigiannya untuk dipadankan dengan rekod di klinik pergigian yang pernah dikunjungi mangsa bagi mendapatkan rawatan sebelum ini.

"Banyak spekulasi bertiup kencang termasuk khabar angin mangsa dikatakan hamil.

"Hanya keputusan bedah siasat akan menjawab semua soalan ini, jadi kita perlu bersabar dan biarkan pakar menjalankan tugas mereka," tambahnya.

Beliau berkata butiran seperti umur teman lelaki mangsa, pekerjaan mangsa, dan apa yang berlaku akan dimaklumkan pada masa yang sesuai.

Pada Rabu, Mior Faridalathrash berkata seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah tampil untuk mengenal pasti mayat kakaknya yang dilaporkan hilang sejak Selasa (31 Mei).

Katanya, remaja tersebut membuat pengecaman terhadap mayat terbakar itu berdasarkan selipar, penyepit rambut dan subang pada hidungnya.

Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, mayat seorang wanita yang terbakar ditemui pada pukul 3 petang di tebing sungai berhampiran Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain