suria

Identiti mayat wanita dibunuh, dibakar dikenal pasti

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian susulan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar.

MAYAT seorang wanita yang ditemui sudah terbakar di kawasan tepi sungai dekat Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat itu dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang sejak Selasa.

Beliau berkata, laporan mengenai kehilangan individu dibuat oleh adik lelaki mangsa yang berusia 19 tahun, di Balai Polis Kuala Kangsar

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Wanita dibunuh sebelum dibakar di tepi sungai... Identiti masih belum dikenal pasti

"Adik lelakinya sudah membuat pengecaman berdasarkan kasut, selipar, subang hidung, serta penyepit rambut pada mayat.

"Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan melalui sampel darah bapa mangsa bagi tujuan pengesahan identiti, selain pemeriksaan melalui rekod pergigian.

"Kita juga akan membuat pemadanan gigi mangsa dengan rekod pergigian kerana mangsa dikatakan ada membuat pemeriksaan (pergigian) di klinik pergigian di Kuala Kangsar," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, mayat seorang wanita yang terbakar ditemui pada pukul 3 petang di tebing sungai berhampiran Kampung Talang Hulu.

Daripada penelitian awal, polis mengesyaki mangsa dibunuh dan kemudian dibakar 24 jam sebelum penemuan mayat.

Beliau menambah, terdapat kesan luka di bahagian kiri kepala mangsa.

"Turut ditemui seketul batu konkrit dengan kesan darah dijumpai berhampiran mayat wanita, dipercayai digunakan bagi mencederakan kepala mangsa.

"Pakar akan menjalankan pemeriksaan, dan menyemak rekod pergigian untuk mengesahkan identiti.

"Kita juga akan cuba mendapatkan laporan cap jari secepat mungkin," tambahnya.

Beliau berkata, mayat ditemui orang awam dan telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat, katanya, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain