suria

Ngeri! Wanita dibunuh sebelum dibakar di tepi sungai... Identiti masih belum dikenal pasti

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian susulan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar. Foto: Bernama

ORANG awam dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, Perak, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, siasatan awal mendapati mayat individu tersebut adalah seorang wanita berbangsa India berdasarkan penelitian fizikal.

Namun ujar beliau, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Mior Faridalathrash berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut sekitar pukul 3.05 petang oleh orang awam.

"Pihak polis daerah Kuala Kangsar hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan tersebut. Unit Forensik (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turut tiba di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan awal yang dilakukan mendapati, mangsa dipercayai mati dibunuh dan dibakar di tempat yang sama," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar bagi proses bedah siasat,

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Subkey Alias di talian 013-928 5436.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain