suria

Kerajaan diminta ambil tindakan undang-undang, sita rumah RM41.8 juta untuk bekas kekasih Leissner

Bekas ketua Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner. foto Bloomberg

SUSULAN pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner berkaitan pembelian rumah di London, dipercayai menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meminta kerajaan mengambil tindakan undang-undang termasuk menyita rumah atau menyaman pemiliknya.

Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York pada Isnin berkaitan pembelian sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London pada 2013 untuk kekasihnya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Fahmi berkata, pengakuan Leissner perlu disiasat segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara.

"Pengakuan Leissner ini perlu disiasat segera oleh Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara serta Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk menyita rumah tersebut atau menyaman pemiliknya.

"Jika benar dana 1MDB telah disalahguna untuk membeli rumah buat Rohana, maka rumah atau wang tersebut wajib dikembalikan kepada rakyat," kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Leissner memberikan keterangan tersebut semasa menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Fahmi Fadzil

Fahmi berkata, pengakuan Leissner perlu disiasat segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara.

Menerusi keterangan yang dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan pembelian itu dibuat pada 2013 selepas wanita berkenaan mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Ditanya pendakwa raya, Drew Rolle mengenai hubungannya termasuk bersama Rohana, Leissner berkata, hubungan itu berlanjutan dari 2003 hingga 2013.

Leissner pada 2018 telah mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang telah disita.

Sehingga kini, akaun amanah tersebut di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara dan telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita serta dipulangkan berkaitan 1MDB.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain