suria

Gangguan bekalan air di 142 kawasan sekitar Petaling, Klang

Sebahagian kawasan di Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air. -gambar hiasan

SEBANYAK 142 kawasan di wilayah Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam, pada Selasa.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, kejadian berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga.

"Berikutan itu, Air Selangor perlu menjalankan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah tersebut yang akan bermula 3 petang hari ini, 26 Januari 2022.

"Justeru, kerja-kerja pembaikan ini akan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 142 kawasan di wilayah Petaling dan Klang," katanya menerusi laman Facebook rasmi, Rabu.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada pukul 3 pagi Khamis, dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," katanya.

Sehubungan itu, Air Selangor memaklumkan bahawa bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki," tambah kenyataan itu.

Orang ramai boleh membuat semakan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Facebook Air Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain