suria

Salah faham isu bonus, bebanan kerja jadi punca kejadian pekerja J&T campak barang - KSM

Paparan skrin video yang tular memaparkan pekerja J&T Express mencampakkan barang pelanggan.

BEBERAPA hari lalu tular sebuah video memaparkan petugas syarikat penghantaran barangan J&T Express mencampakkan barang pelanggan.

Insiden tersebut nyata mengundang kecaman netizen lantaran ia disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana menjadikan barang pelanggan sebagai 'mangsa' disebabkan isu dengan pihak syarikat.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian serius Kementerian Sumber Manusia (KSM).

ARTIKEL BERKAITAN: Campak barang secara ganas, tidak menyenangkan... J&T akui silap - “Maaf kami telah menjejaskan barang-barang rakyat Malaysia”

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, KSM memaklumkan telah menjalankan siasatan berhubung kejadian mogok oleh pekerja-pekerja syarikat penghantaran berkenaan.

Menurut KSM, siasatan dilakukan terhadap beberapa buah premis perniagaan syarikat itu yang terletak di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.

Hasil siasatan kementerian itu mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan syarikat yang terletak di Perak dan ia berpunca daripada bebanan kerja yang dialami oleh pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.

"Siasatan turut mendapati terdapat di kalangan pekerja-pekerja terutamanya di bahagian penghantaran (despatch) tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang.

"Pihak majikan memaklumkan bahawa isu berhubung kejadian pekerja memunggah bungkusan secara kasar telah selesai dan ia berlaku disebabkan salah faham.

"J&T telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan J&T," jelas kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, Kementerian Sumber Manusia menegaskan kepada majikan agar sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan melibatkan kepentingan pekerja.

Ia bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati serta kebajikan pekerja terus berkekalan dan terpelihara.

Terdahulu pada Ahad lalu, tujuh pekerja J&T Express tampil membuat permohonan maaf di atas apa yang berlaku menerusi Facebook J&T Malaysia Perak.

Dalam pada itu, J&T juga tampil dengan satu kenyataan bagi menjelaskan insiden berkenaan.

Jelas syarikat itu, kejadian berkenaan berlaku selepas kurang penjelasan di kalangan pegawai jabatan berhubung sistem pengagihan bonus.

"J&T sudah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus serta undang-undang perburuhan.

"Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama tempoh satu tahun dan ia (bonus) dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun," menurut kenyataan berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

J&T Express, pekerja mogok

Artikel Lain