suria

17 kluster baharu! Malaysia catat 3,384 kes baharu Covid-19, 13 lagi kematian

Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19. -gambar hiasan/ foto AZHAR MAHFOF/The Star

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 3,384 kes baharu, menjadikan keseluruhan 254,988 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 51,783 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, negeri Selangor pada Khamis melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,082 kes, diikuti Johor, 777 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 435 kes.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan 13 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 936 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Khamis.

Beliau berkata, sebanyak 3,774 kes telah pulih Covid-19 pada Khamis dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 202,269 kes.

"Sehingga kini, terdapat 259 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 122 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 17 kluster baharu akibat kes positif Covid-19 dikesan pada Khamis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain