suria

Berita baik! KWSP dalam proses mansuh syarat i-Sinar, semua ahli boleh mohon keluarkan simpanan Akaun 1

KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

BERITA baik untuk rakyat Malaysia apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas pihak awam.

Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

"Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar ini akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.

"Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, KWSP memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, iaitu bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

"Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

"Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan tersebut.

"Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP, dan kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan.

"Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu atau mengelirukan ahli," ujar beliau.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain