suria

Covid-19: 20,000 kes harian di Malaysia diramal mulai Mac

(gambar fail) Dr Noor Hisham berkata, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), AS mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 20,000 jangkitan.

KES harian Covid-19 masih mencatatkan empat angka selepas hampir sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Lebih mengejutkan, kes Covid-19 di Malaysia diramalkan meningkat sehingga 20,000 jangkitan setiap hari bermula 3 Mac tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 20,000 jangkitan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama menurunkan angka jangkitan yang diramalkan.

"Mari kita tunjukkan bahawa kita dapat menurunkan angka yang diramalkan oleh IHME seperti yang kita lakukan dengan ramalan JP Morgan untuk pertengahan April 2020.

"Mari kita bersatu dalam menewaskan virus ini dan mengetepikan perbezaan dan kepentingan diri kita, terus fokus untuk memerangi perang ini dan melakukan yang terbaik untuk negara.

"Bersama-sama kita rakyat Malaysia dapat wujudkan yang mustahil dan lindungi orang yang lemah dan tersayang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Khamis.

Pada April 2020, agensi penyelidikan JP Morgan meramalkan angka positif Covid-19 di Malaysia mengunjur meningkat kepada 6,300 kes pada pertengahan bulan itu.

Bagaimanapun, jangkaan itu ternyata meleset apabila hanya sekitar 4,000 kes dicatatkan di Malaysia pada bulan itu. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain