suria

Lebih 20,000 pesakit Covid-19 sedang jalani kuarantin di rumah - Kementerian Kesihatan

Pada masa ini, CAC sedang memantau seramai 20,089 pesakit yang sedang menjalani pengasingan di rumah. Gambar hiasan

LEBIH daripada 20,000 pesakit Covid-19 di negara ini kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang dibenarkan untuk diasingkan di rumah adalah mereka yang dianggap berisiko rendah oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 libatkan warga asing naik mendadak, pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula - Ismail Sabri

"Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan bagi mengendalikan penilaian pesakit-pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan pemantauan di rumah.

"Perkhidmatan CAC ini telah dimulakan pada 25 Januari 2021 secara berperingkat di semua negeri.

"Sehingga kini, terdapat 152 buah pusat CAC yang sedang beroperasi di seluruh negara dan secara kumulatif, sejumlah 60,052 pesakit telah dipantau oleh CAC.

"Pada masa ini, CAC sedang memantau seramai 20,089 pesakit yang sedang menjalani pengasingan di rumah," kata Dr Noor Hisham.

Pada masa ini, Johor merekodkan jumlah pesakit paling tinggi yang menjalani kuarantin di rumah iaitu dengan 6,016 kes, diikuti oleh Selangor (5,258) dan Kuala Lumpur (4,489).

Sarawak adalah satu-satunya negeri yang tidak mempunyai kes positif yang diasingkan di rumah, memandangkan masih mempunyai kemampuan yang mencukupi di hospital dan pusat kuarantin untuk menampung pesakit.

KKM sebelum ini membenarkan pesakit tahap satu menjalani kuarantin di rumah memandangkan hospital dan pusat rawatan risiko rendah semakin sesak dengan pertambahan kes baharu. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain