suria

Tiada kompromi! Cara pelarian Rohingya menyusahkan Malaysia - “Mereka tebuk bot, ada yang terjun laut”

Bot yang membawa pelarian Rohingya berjaya dipintas pihak berkuasa Malaysia ketika cubaan menceroboh perairan negara. Foto: Bernama

SERAMAI 269 pelarian etnik Rohingya yang berjaya ditahan pihak berkuasa selepas menceroboh perairan negara di Langkawi pada Isnin, akan dihantar pulang tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menerusi Kementerian Luar akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh dan beberapa pihak lain bersabit urusan penghantaran pulang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin persatuan Rohingya mohon maaf, akur status sebagai pelarian

"Kita buat keputusan bahawa kita tak benarkan mereka berada di negara kita. Kita tegas kali ini, kita tak boleh menerima (pelarian Rohingya) lagi," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Menurut Ismail, sekiranya pelarian ini melarikan diri dari Kem Cox Bazar, mereka akan dihantar pulang semula ke kem tersebut ataupun ditempatkan di Pulau Bhasan Char, iaitu kawasan penempatan baharu yang dibina Bangladesh khusus untuk etnik tersebut.

"Kita juga minta Kementerian Luar berbincang dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya kalau boleh kita hantar mereka ke negara ketiga.

"Ada negara yang mengatakan kononnya kita tak berperikemanusiaan dan sebagainya. Jadi kita minta Kementerian Luar bincang dengan negara ketiga ini supaya mereka menerima pelarian Rohingya daripada Malaysia kerana mereka juga ahli Konvensyen Pelarian 1951.

"Banyak negara merupakan ahli konvensyen ini, jadi kenapa nak serah kepada kita semata-mata," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ismail turut menepis tanggapan rakyat kononnya kerajaan terlalu berlembut terhadap pelarian berkenaan.

"Modus operandi mereka yang kadang-kadang menyusahkan kita. Sebelum mereka masuk ke perairan kita, mereka telah menebuk bot mereka dan masuk dengan bot yang dimasuki air, dengan enjin rosak.

"Seramai 53 orang daripada mereka terjun ke laut.. jadi kita tak punyai banyak pilihan, sama ada kita nak biarkan mereka mati di laut atau selamatkan mereka atas dasar kemanusiaan.

"Tapi atas dasar kemanusiaan, takkan kita nak lihat anak-anak kecil orang tua mati depan mata kita tanpa selamatkan mereka. Tapi kita buat keputusan bahawa kita tak benarkan mereka berada di negara kita," ujarnya lagi.

Kesemua pelarian tersebut kini ditahan di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi untuk sementara waktu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Rohingya, Langkawi, Bangladesh

Artikel Lain