suria

Keputusan buka semula sekolah diumum Rabu

Guru melekatkan tanda X di meja guru mengikut garis panduan bagi persediaan pembukaan semula sekolah. Foto Bernama

SATU mesyuarat melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan yang diadakan pada Selasa akan menentukan tarikh pembukaan semula sekolah, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya.

Beliau bagaimanapun berkata, sekolah di seluruh negara akan dibuka untuk pelajar Tingkatan Lima, Tingkatan Enam, Vokasional dan Sijil Tinggi Malaysia Agama (STAM) sahaja.

Selepas keputusan dibuat, satu pengumuman berhubung perkara tersebut dijangka dibuat oleh menteri kanan pada Rabu.

"Terdapat lebih 300,000 pelajar dalam kategori ini yang akan kembali ke sekolah dua minggu selepas pengumuman dibuat.

"Semua guru sekolah menengah juga perlu kembali ke sekolah untuk membantu rakan-rakan setugas, berikutan lebih banyak kelas akan diwujudkan, maka memerlukan lebih banyak tenaga kerja," katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak bagi meninjau persiapan sekolah.

Muslimin menambah, terdapat antara 16 dan 20 pelajar dalam satu kelas dan tidak lebih daripada itu.

Beliau berkata, garis panduan telah dibuat begitu jelas untuk semua sekolah, dengan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi.

Mengenai kebimbangan ibu bapa pelajar dan guru berhubung pelajar kembali ke sekolah ketika wabak Covid-19, Muslimin berkata, semua persiapan dan SOP telah dibuat untuk mencegah penularan.

Tambah beliau, Malaysia merupakan antara negara yang berjaya menangani pandemik dengan baik.

"Bagaimanapun, ibu bapa juga harus berperanan untuk memastikan anak-anak mereka yang mengalami gejala batuk, demam, atau selesema tidak dihantar ke sekolah.

"Dengan kelas yang mempunyai bilangan pelajar lebih kecil, pengambilan suhu dan menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di sekolah, ini akan membantu mencegah penularan virus," katanya. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain