suria

Rakyat Pakistan antara 2 kematian direkod, kes positif Covid-19 kini cecah 4,119

Dua lagi kematian direkodkan pada Rabu.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 156 kes baharu Covid-19 pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,119 kes setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, KKM turut merekodkan dua lagi kematian akibat virus itu pada hari ini.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 65 kes, iaitu 1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-64 (kes ke-2903) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Kes kematian ke-65 (kes ke-1906) merupakan lelaki warganegara Pakistan berusia 69 tahun dan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling," ," katanya pada sidang media petang Rabu.

Tambah Dr Noor Hisham, kes ke-64 disahkan meninggal dunia pada pukul 3.20 petang Selasa selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac lalu.

Bagi kes ke-65, pula beliau berkata, mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi Rabu.

Menjawab pertanyaan berkaitan warga asing, katanya, setakat ini, seramai 145 rakyat luar negara disahkan positif jangkitan itu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 76 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

"Daripada jumlah tersebut, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya. 

Covid-19, KKM, Dr Noor Hisham, kematian

Artikel Lain