suria

Sejarah tercipta! Agong ‘interview personally’ 221 MP dalam masa 2 hari sebelum putuskan PM ke-8

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan bertemu dengan 222 Ahli Parlimen bermula 2.30 petang Selasa.

BUAT pertama kali, seramai 222 Ahli Parlimen (MP) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara berperingkat selama dua hari bermula 2.30 petang Selasa.

Ia bagi mengetahui secara bersemuka sokongan setiap MP terhadap calon perdana menteri terbaharu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong lantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim

Perkara itu dibuat sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang di-Pertuan Agong berhak melantik perdana menteri daripada ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin mengumumkan perkara itu pada sidang media di Istana Negara berhubung perkembangan terkini situasi politik negara sebentar tadi.

Beliau berkata, semua MP telah dimaklumkan oleh pihak Istana Negara berhubung perkara itu pada Isnin.

"Saya rasa ini pertama kali berlaku di peringkat persekutuan.

"Baginda sendiri akan adakan personal interview akan dibuat ringkas dalam masa dua atau tiga minit untuk setiap MP dan bermula seramai 90 orang pada 2.30 petang hari ini (Selasa)," katanya.

Sesi itu akan disambung semula pada Rabu di mana sesi akan dikendalikan sendiri oleh Yang di-Pertuang Agong dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu pada pagi Selasa, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat turut dilihat tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Petuan Agong.

Katanya lagi, setiap MP akan dipanggil seorang demi seorang tanpa mengira parti yang diwakili untuk menghadap baginda bagi menyelesaikan isu berkaitan kepimpinan negara.

"Agong mahu melakukannya secara telus dan berkongsi supaya media tak membuat sebarang spekulasi," katanya.

Beliau berkata, jumlah 221 MP itu tidak termasuk Dr Mahathir kerana baginda telah mengadakan pertemuan dengan perdana menteri ke-7 itu sebelum ini.


Artikel Lain