suria

Hilang ingatan 3 bulan tak halang wanita Labuan ini bergelar doktor falsafah

Gambar hiasan konvokesyen UMS.

HILANG ingatan selama tiga bulan akibat serangan angin ahmar merupakan dugaan berat bagi seorang graduan, Juraidah Manggul sebelum berjaya menerima segulung Ijazah Doktor Falsafah.

Juraidah, graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima ijazah itu sempena majlis konvokesyen UMS telah diserang penyakit itu pada 2017.

Susulan itu wanita berusia 40 tahun ini terpaksa menjalani pembedahan di sebelah kanan kepalanya untuk mengeluarkan darah beku.

Berasal dari Labuan, anak sulung daripada dua beradik itu merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai Labuan.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menceritakan kepayahan (meneruskan) pengajian kerana saya perlu mengembalikan ingatan saya semula, pertuturan dan berusaha untuk pulih semula.

"Di samping tugas dan belajar kepayahan itu memang ada tetapi saya bersyukur kerana pihak UMS dan keluarga terus memberikan bimbingan serta tidak jemu memberi sokongan," katanya dalam nada sebak ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Dewan Canselori UMS, di sini, Sabtu.

Mengimbas kembali detik serangan penyakit itu, Juraidah berkata pada waktu itu beliau dalam tempoh untuk membuat persiapan menghadapi ujian viva.

Akibat serangan penyakit itu, beliau terpaksa membaca semula bidang kajiannya iaitu dalam bidang Pengurusan Pendidikan yang bermula pada 2011.-- Bernama


UMS, Juraidah

Artikel Lain