suria

Dana RM20 juta khusus untuk program latihan banduan

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (empat, kanan) berkenan meneliti kain tenun dihasilkan oleh banduan ketika berangkat melawat Bengkel Tenun Pahang DiRaja Penjara Penor.

KERAJAAN berhasrat untuk mengembangkan latihan kemahiran dan program banduan untuk memenuhi standard Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional
(TVET) kebangsaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut memberikan contoh bagaimana Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sering memperagakan Kain Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang termasuk ketika istiadat pertabalan, Julai lalu.

“Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta khusus bagi program perkhidmatan makanan (F&B), pertukangan, perkhidmatan dobi dan kimpalan,” demikian kata Guan Eng.

Terdahulu, Guan Eng menekankan bidang fokus utama dasar pembangunan modal insan adalah dengan mengarus perdana TVET.

 “Justeru, kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada 2019 kepada RM5.9 bilion pada 2020 bagi program TVET,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Menurut Guan Eng, peruntukan itu termasuk memperkukuhkan lagi sinergi di antara sektor awam dan swasta menerusi peningkatan pembiayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC).

“Oleh itu, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan oleh SSDC,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan geran padanan berjumlah RM20 juta untuk menyokong kursus TVET yang direka khas untuk dilaksanakan dengan kerjasama industri.

“Selain itu, kerajaan akan memperluaskan laluan kerjaya graduan TVET untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan. Justeru, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah untuk pelatih yang telah menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional pada tahun hadapan.

“Program Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan bekerjasama dengan industri untuk menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian. Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih 3,000 belia daripada keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya.

TVET, banduan, tenun


Artikel Lain