suria

TMM2020 peroleh dana RM 1.1 bilion, sasar 30 juta pelancong

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM 1.1 bilion untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) ke arah usaha menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, dengan sasaran 30 juta pelancong.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan meneruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

“Sebanyak RM90 juta daripada peruntukan itu dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen TMM2020. Dalam pada itu, sebahagian besar daripada levi pelepasan yang dikenakan kepada penumpang yang ke luar negara menggunakan pengangkutan udara mulai 1 September 2019 akan diperuntukkan kepada projek infrastruktur pelancongan,” katanya di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Bagi meningkatkan manfaat ekonomi TMM2020, kerajaan akan mencadangkan insentif cukai yang disasarkan ke atas sektor kesenian dan pelancongan, antaranya;

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan serta rekreasi bertaraf antarabangsa yang diluluskan dan penganjur persidangan.

Kedua: Pelaburan baharu bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk lima tahun.

Ketiga: Meningkatkan potongan cukai yang diberi kepada syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia daripada RM700,000 sehingga RM1 juta setahun.

Keempat: Elaun Modal Dipercepatkan ke atas perbelanjaan bagi pembelian bas persiaran baharu jenis pemasangan tempatan dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Kelima: Pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan diberikan kepada pengendali pelancongan bagi pembelian kenderaan pelancongan baharu yang layak.

Kerajaan juga katanya akan menganjurkan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 sebagai mengisi program TMM2020 untuk memperkukuh kedudukan utama Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

“Pada 2018, sektor ini telah menjana pendapatan RM1.5 bilion daripada 1.2 juta pelancong kesihatan. Untuk mempromosikan lagi pelancongan kesihatan, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan kesihatan di Asean untuk onkologi, kardiologi dan rawatan kesuburan,” demikian kata Guan Eng.

Beliau juga menambah, sehingga kini, permohonan e-visa telah pun diperkenalkan kepada 10 buah negara, termasuk China dan India. Bagi memudahcara proses pengeluaran visa, ejen pelancongan berlesen di bawah kementerian itu dibenarkan untuk menghantar permohonan secara berkelompok sehingga 100 orang setiap transaksi melalui sistem eNTRI dan eVISA.

Artikel Lain