Pernah diketawakan kerana idea mengarut, salji kini ‘turun’ di Rembau - Semasa | mStar

Pernah diketawakan kerana idea mengarut, salji kini ‘turun’ di Rembau

Pengunjung boleh bermain salji di Rumah Salji yang diusahakan oleh Mohd Khairul Azman Mustakim, 31, (kiri) di Rembau, baru-baru ini. Foto Bernama

DAHULU, idea untuk membina rumah salji oleh Mohd Khairul Azman Mustakim, 31, sering ditertawa dan dikatakan mengarut oleh rakan-rakan dek kerana keinginannya merasai suasana seperti mana di luar negara.

Kini, hasrat dan impian bapa kepada seorang anak ini menjadi kenyataan selepas Rumah Salji Rembau yang dibinanya, setengah jam dari Seremban, siap sepenuhnya dan telah menjadi antara tarikan baharu di kawasan itu bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat bahkan orang luar.

Mohd Khairul Azman hanya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk membina sebuah rumah salji dan mula beroperasi pada hujung Mac tahun ini.

“Idea saya ini sudah dirancang sejak tiga tahun lepas sebab saya terlibat dengan perusahaan sejuk beku. Jadi dari situ idea untuk bina rumah salji macam iCity Snow ini timbul, tetapi apabila saya cerita pada kawan-kawan mereka gelakkan saya.

“Ada juga yang kata kenapa buat di kawasan kampung, tak kurang juga yang pertikaikan siapa yang akan datang dan sebagainya, apabila saya tengok respons mereka begitu saya cuma cakap tak apalah nanti tengok sahaja tetapi ada juga kawan yang sokong termasuk isteri saya. Akhirnya hasrat saya ini tercapai juga,” katanya kepada Bernama di Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mohd Khairul (kanan) menunjukkan baju sejuk yang tersedia kepada pengunjung.  Foto Bernama

Bermodalkan kira-kira RM20,000, Mohd Khairul Azman berkata, antara cabaran untuk membina rumah salji itu adalah mengenai cara untuk mengekalkan tahap kesejukan dan bagaimana untuk menghasilkan ais kepada bentuk seakan-akan salji.

“Kalau ikutkan konsep dia lebih kurang macam stor simpanan makanan sejuk beku seperti kambing, ayam daging dan sebagainya, tetapi yang bezanya rumah salji ini ada kepingan ais yang dibuat seakan salji, bagaimana nak pastikan ketahanan kepingan-kepingan ais itu.

“Saya mula bina rumah salji ini dengan alatan dan barangan terpakai yang saya beli dari sebuah kilang yang dalam proses untuk ditutup,” katanya.

Berdasarkan sambutan, beliau yang berasal dari Chembong di sini, berkata sejak dibuka Rumah Salji Rembau telah menerima kunjungan seramai lebih 1,000 pengunjung setempat dan juga dari luar.

“Orang luar ini antaranya dari Putrajaya, Johor, Kuala Lumpur…mungkin sebab ia tular di media sosial atau mereka kebetulan lalu dan singgah sebab lokasinya betul-betul di tepi jalan. Kalau hari biasa boleh dikatakan setiap hari ada pengunjung, masa bulan puasa pengunjung lebih suka datang pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.

Rumah Salji Rembau yang lebih bercirikan kawasan permainan kanak-kanak beroperasi seawal pukul 9 pagi hingga 6.30 petang dari hari Selasa hingga Ahad dengan bayaran kemasukan sebanyak RM15 untuk kanak-kanak berusia satu hingga 17 tahun.

“Bayaran ini termasuk sekali sewaan baju sejuk dan kasut manakala orang dewasa yang menemani kanak-kanak kita kenakan bayaran sebanyak RM5 termasuk sewa kasut dan baju sejuk. Bagi golongan dewasa yang datang sendirian dikenakan bayaran RM5,” katanya.

Mohd Khairul di hadapan rumah saljinya. Foto Bernama

Dalam pada itu, Mohd Khairul Azman berkata beliau turut menerima maklum balas positif daripada pengunjung yang mahu rumah salji berkenaan dibesarkan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menikmatinya.

“Untuk permulaan, rumah ini memang untuk kanak-kanak sebab ia tidak besar, kapasiti untuk sekali masuk boleh memuatkan sembilan kanak-kanak dan tiga orang dewasa.

“Cadangannya, memang saya nak besarkan kepada tiga kali ganda dan menambah lebih banyak alatan permainan. Selain itu, jika diberikan rezeki saya akan beli mesin proses ais menjadi salji sebab yang ada sekarang aisnya agak kasar tetapi seakan-akan salji,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berharap Rumah Salji Rembau miliknya itu akan dapat dipakejkan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan untuk disinggah selain berpeluang membeli produk sejuk beku NKA Frozen yang juga miliknya.

“Lokasi Rumah Salji Rembau ini betul-betul di tepi jalan. Kalau bas yang bawa pelancong dapat lalu dan singgah di sini untuk ke Melaka, saya sudah cukup berpuas hati kerana ia mampu mewujudkan tarikan pelancongan yang baharu untuk Rembau,” katanya. - Bernama

Rembau , salji , rumah salji

Artikel Lain