suria

Orang awam, penduduk kampung perlu maklumkan polis sebelum cari Acap

Operasi pencarian Acap akan diteruskan oleh orang kampung. Foto RONNIE CHIN/The Star

ORANG awam dan penduduk di sekitar Kampung Pintu Padang, Gopeng yang mahu melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak bulan lepas perlu melaporkannya kepada Balai Polis Gopeng.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata pihaknya tidak menghalang orang awam dan penduduk kampung untuk melakukan usaha pencarian mengikut kaedah mereka sendiri namun elemen keselamatan perlu menjadi keutamaan.

Katanya segala usaha pencarian yang telah disusun atur oleh mana-mana pihak secara sukarelawan dari awal usaha SAR dilakukan, pihaknya tidak pernah menerima rekod maklumat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 24 hari Acap hilang, abang kata "ikut cara orang kampung pula, tapi clear orang awam dulu"

"Kita telah uar-uarkan kepada orang ramai (perlu melaporkan kepada polis) dan kita sediakan buku untuk direkodkan maklumat tetapi tidak ada yang datang memberi maklumat.

"Kita mahu mereka yang menyertai usaha pencarian pergi dan balik dalam keadaan yang selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas Program Polis Masuk Kampung anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sekitar Gopeng pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pintu Padang, Mohd Fairis Zabidi berkata kira-kira 30 individu terdiri daripada anggota majlis serta kariah surau dari Kampung Pintu Padang di sini meneruskan usaha mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap.

Beliau berkata selain itu, beberapa pengamal perubatan Islam dan individu yang mempunyai pengalaman mencari orang hilang turut menyertai usaha tersebut untuk mencari Mohammad Ashraf.

"Kita melakukan operasi pencarian pada waktu pagi sehingga ke petang yang berpecah kepada empat kumpulan melibatkan tujuh hingga lapan orang dan kita akan berhubung dengan pihak bomba dan polis sekiranya mendapat petunjuk baharu semasa usaha pencarian dilakukan.

"Selain mencari mangsa di kawasan yang dilaporkan hilang, kita turut mengadakan solat hajat memohon petunjuk supaya Mohammad Asyraf berjaya ditemui semula," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Mohd Fairis berkata penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan menyambut baik langkah pasukan penyelamat yang menangguhkan sementara operasi SAR bermula Rabu.

"Ada kalangan orang-orang tua yang sudah lama tinggal di sini meminta supaya operasi pencarian direhatkan buat sementara waktu bagi membolehkan penduduk kampung melakukan ikhtiar untuk mencari Mohammad Ashraf.

"....apabila operasi pencarian dilakukan dengan penglibatan ramai individu, ia akan menyukarkan seterusnya melambatkan lagi penemuan mangsa," katanya. - BERNAMA

Acap, Gopeng Ultra Trail, hilang

Artikel Lain