suria

Selepas 24 hari Acap hilang, abang kata "ikut cara orang kampung pula, tapi clear orang awam dulu"

Laporan baharu yang dibuat oleh keluarga Acap.

TIGA hari selepas membuat laporan polis, Mohammad Azlan Hasan iaitu abang peserta larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) Mohamad Ashraf menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan tindakannya itu.

Menurut abang kedua kepada peserta GUT19 yang lebih dikenali sebagai Acap itu, laporan polis berkenaan sebenarnya dibuat untuk meminta supaya operasi mencari dan menyelamat (SAR) adiknya yang dilakukan orang awam, sukarelawan dan unit beruniform dihentikan buat sementara.

“Saya minta maaf di atas kekeliruan yang timbul. Laporan pertama saya tidak menyebut saya meminta agar misi mencari Acap dihentikan buat sementara sehingga tarikh yang diberitahu kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang buat laporan polis minta orang ramai, sukarelawan berhenti cari Acap

ARTIKEL BERKAITAN: Hari ke-18: Hutan, bukit, gua semua dah diredah… “ Di mana Acap ni, kami dah tak larat”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada ucapan 'happy birthday', abang sulung nekad cari Acap... “Laporan polis? Saya tak tahu menahu”

“Mungkin ada orang salah faham tentang laporan itu. Orang ingat dihentikan terus tapi sebenarnya tidak.

"Jadi saya buat laporan polis kedua pada tengah hari Isnin lalu untuk memperbetulkan kenyataan terdahulu saya,” katanya ketika dihubungi mStar.

Susulan itu, pada Rabu pagi, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain mengumumkan penangguhan sementara pencarian Acap berkuat kuasa hari sama.

Katanya penangguhan operasi selepas 24 hari pencarian dibuat atas beberapa faktor termasuk tiada petunjuk baharu diperoleh Pasukan Penyelamatan dan Pasukan Siasatan bagi membolehkan mangsa dikesan sama ada dalam bentuk operasi atau siasatan di luar konteks operasi.

Mengulas lanjut, kata Mohammad Azlan, dia dan abangnya mempunyai tugas masing-masing dalam misi mencari adik mereka.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu.

"Dia (abang) uruskan orang luar atau sukarelawan yang nak bantu. Nak tak nak kita kena alu-alukan kehadiran mereka. Jadi abang jaga bahagian sana.

"Saya pula lebih kepada orang kampung. Kami ada tugas masing-masing," katanya yang percaya misteri kehilangan adiknya ada kaitan dengan unsur mistik.

Mengenai laporan polis yang dibuat Ahad lalu, Mohammad Azlan berkata, dia terpaksa berbuat demikian selepas mendapat nasihat orang kampung sekitar Gopeng.

"Sebenarnya dah masuk hari ke-24 adik saya hilang. Kita dah bagi masa dan peluang kepada sukarelawan dan orang awam mencari tapi tak ada hasil.

"Jadi kita minta hentikan sementara dan bagi peluang kepada orang kampung untuk uruskan pencarian mengikut cara mereka," katanya.

Mohammad Azlan berkata dia perlu mengambil kira pandangan orang kampung kerana adiknya hilang di kawasan tersebut dan mereka lebih tahu selok belok kawasan berkenaan.

"Macam mana pun kita kena rujuk orang kampung juga sebab dia hilang kat kampung ni. Kita tak boleh membelakangi orang kampung,” katanya.

Jelasnya, pencarian bersama orang kampung akan dilakukan selepas orang awam mahupun sukarelawan meninggalkan kawasan tersebut.

"Sekarang belum bermula... kita nak bagi clear orang awam dulu yang masih datang ke sini. Mungkin mereka terlepas laporan saya.

"Kita tengok dalam dua, tiga hari lagi kalau boleh sampai tak ada satu orang awam atau sukarelawan datang ke sini lagi. Lepas itu baharulah kita mulakan pencarian bersama dengan mereka," katanya.

Mohammad Azlan berkata rundingan mengenai misi pencarian Acap bersama orang kampung sudah dilakukan pada Ahad lalu, hari sama laporan polis dibuat.

"Saya bertemu sendiri dengan orang lama yang dah berpuluh tahun duduk di sini.

"Kita rujuk dengan mereka dan kita dinasihatkan supaya buat macam tu. Jadi kita kena buatlah sebab itu nasihat orang-orang lama di sini," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Acap, polis, hilang

Artikel Lain