Tahan takut tengok kawan lelaki mengilai, dibawa jumpa ustaz puncanya 'nasi putih lauk ayam' - Viral | mStar

Tahan takut tengok kawan lelaki mengilai, dibawa jumpa ustaz puncanya 'nasi putih lauk ayam'

Iman dipercayai terkena sihir nasi kangkang yang diberikan oleh bekas rakan wanita di pejabatnya.

"SEDIH melihat keadaan kawan baik yang tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sangat lemah," ujar Nash yang berkongsi cerita mengenai sihir 'nasi kangkang'.

Pemuda berusia 25 tahun dari Selangor ini memberitahu mStar, kawan yang dimaksudkannya itu bernama Iman dan dia boleh dikategorikan sebagai 'ada rupa'.

"Dia kawan saya sejak zaman sekolah rendah lagi. Meningkat dewasa Iman antara lelaki kacak, berkerjaya dan mempunyai kewangan yang stabil.

"Jadi ramailah yang cuba mendekatinya. Hubungan kami memang rapat dan dua minggu lalu saya perasan ada perubahan jelas dalam dirinya," ujarnya memulakan bicara.

ARTIKEL BERKAITAN: Baju kaedah falak dihasilkan untuk elak sihir

ARTIKEL BERKAITAN: 7 artis dikaitkan dengan unsur mistik mengukuhkan dakwaan pentas ‘Gegar Vaganza’ berpuaka

Nash yang tidak menyangka zaman sekarang ini masih ada pihak yang menggunakan ilmu sihir untuk mendapatkan sesuatu turut berkongsi kisah ini melalui bebenang di Twitter yang kemudiannya tular. Postingnya setakat ini mendapat 25,000 ulang kicau (retweet).

"Saya memang tak percaya. Dia beritahu saya ada sesuatu yang tak kena dengan dirinya... seperti rasa rindu yang melampau, sekejap nangis, sekejap sedih, sakit sendiri, hilang selera makan dan tak boleh tidur.

"Pada mulanya saya ingatkan dia tertekan dengan kerja atau tak cukup rehat, tapi sebaliknya berlaku. Malah dia juga ada rasa nak bunuh diri, bila tinggal seorang selalu saja sebut nama seorang wanita tu (rakan sekerja).

"Sebenarnya hubungan mereka bukan pasangan kekasih , tetapi kawan saya ni rasa seperti ikut sahaja apa yang wanita itu cakap. Lepas tu saya mula tanya macam-macam pada Iman mengenai wanita tu. Apa yang mengejutkan saya dia mula menangis. Masalahnya dia menangis sambil mengilai suara perempuan. Naik seram saya," katanya.

Datin Seri Umi Aida yang memegang watak pengamal ilmu hitam dalam filem Dukun. -Gambar hiasan

Simpati dengan keadaan Iman, Nash mengambil keputusan bercuti tiga hari untuk menemani kawan baiknya itu.

"Saya bawa seorang lagi kawan untuk teman sekali. Memang menakutkan apabila dengar suaranya menangis dan ketawa seorang diri.

"Kami masuk bilik dan lihat dia pandang cermin sambil sikat rambut seolah-olah rambutnya panjang, padahal dia berambut pendek. Malam tu kami tahan 'takut' sahaja untuk menunggu hari siang," jelasnya.

Ustaz tu ada tanya dia 'kau pernah makan nasi putih berlauk ayam daripada seorang perempuan? Kawan saya tu angguk dan cakap 'dia selalu masak untuk saya. 'Banyak kali ustaz, sepanjang tiga tahun kenal, itulah makanan saya'.

NASH

Rakan mangsa sihir

Menurut Nash, keesokan harinya dia bertindak menghubungi ibunya untuk bertanyakan pendapat tentang rawatan alternatif.

"Saya pun bawalah dia berjumpa dengan seorang ustaz di kampung. Memang terkejut selepas diberitahu Iman kena sihir. Sampai sahaja di rumah ustaz dia terus menangis.

"Ustaz tu ada tanya dia 'kau pernah makan nasi putih berlauk ayam daripada seorang perempuan?'

"Kawan saya tu angguk dan cakap 'dia selalu masak untuk saya. Banyak kali ustaz , sepanjang tiga tahun kenal, itulah makanan saya'.

"Kemudian ustaz tu cakap 'perempuan ni wafakkan (seperti jampi) dekat makanan tu dengan kalimah suci al-Quran yang ditunggang terbalikkan.

"Jadi 'benda' tu dah meresap dalam jiwa dia selama tiga tahun," jelas Nash panjang lebar.

Jelas Nash, ustaz itu ada memberitahunya bahawa tujuan wanita itu berbuat demikian hanya kerana mahukan duit semata-mata.

Nash berkongsi cerita sihir nasi kangkang di Twitter yang dialami kawan baiknya.

"Iman ada beritahu ustaz tu bahawa dia sudah habis berbelas ribu kepada wanita tersebut dan sekarang dia sudah berhenti kerja.

"Kemudian ustaz itu terus mula mengubat Iman. Macam-macam yang saya rasa ketika itu. Seram! Selepas melafazkan ayat-ayat suci al-Quran, Iman rebah.

"Alhamdullilah selepas itu Iman semakin pulih semangatnya. Cuma saya masih tertanya-tanya sanggup seorang manusia perlakukan orang lain dengan cara sihir ini.

"Dan saya harap jika sesiapa yang terkena seperti kawan saya ini, cepat-cepat cari ikhtiar," ujarnya.

Dalam pada itu, Nash memberitahu selepas berkongsi kisah sihir ini di Twitter, ramai yang menghubunginya untuk mendapatkan maklumat mengenai ustaz tersebut.

"Rupanya ramai orang yang terkena gangguan mistik ini. Saya harap, mereka jangan juga lupa untuk mendapatkan rawatan moden dahulu sebelum mencari jalan perubatan altenatif," katanya.

nasi kangkang , sihir , ilmu hitam

Artikel Lain